Insiden tragis yang berlaku di Sungai Korok, Jitra, Kedah baru-baru ini mencetuskan kebimbangan sehingga ramai yang mendesak agar penghadang jalan dibina segera bagi mengelakkan kejadian kereta terjunam dalam sungai berulang kembali.
Ekoran tragedi kemalangan yang mengorbankan nyawa enam beranak, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan tebing terusan di Sungai Korok perlu ditinggikan, serta ditanam pohon buluh madu.
Menurut Sanusi, selain pemasangan pagar dan lampu jalan yang akan diteliti kerajaan, pokok buluh tersebut boleh menjadi penahan untuk menggelakkan mana-mana kenderaan terjunam ke dalam sungai.
Artikel berkaitan: Kerajaan Teliti Cadangan Bina Pagar Penghadang & Pasang Lampu Jalan Sepanjang Sungai Korok
Artikel berkaitan: “Kes paling sayu & tragis” – Ahli Bomba Kongsi Detik Pilu Ketika Angkat Jasad Korban 6 Beranak Di Sungai Korok
“Saya sudah melawat keluarga mangsa. Terusan itu di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan jalan tepinya lurus. Ada dicadangkan supaya diletak pagar penghadang.
“Tapi saya cadangkan juga supaya tanam buluh sebagai menjadi penahan dan landskap. Saya akan cadangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara ini,” katanya.
Buluh lebih kukuh & murah
Selain ciri-cirinya yang lebih kukuh untuk dijadikan sebagai penghadang, Sanusi berkata kos untuk buluh madu tersebut adalah jauh lebih murah berbanding memasang pagar penghadang.
“Kos pasang pagar penghadang sejauh satu kilometer (km) boleh cecah RM400,000. Kalau nak pasang sepanjang 15 km, maka sudah cecah RM6 juta.
“Jika tanam buluh, mungkin lambat sikit hendak matang, tapi kalau pasang pagar penghadang pula, kalau tak ada duit, lagi lambat pasang atau mungkin tak jadi langsung,” katanya.
Difahamkan cadangan tersebut akan dikemukakan kepada JKR untuk pertimbangan teknikal mengikut kesesuaian lokasi.
Jelas Sanusi, ada kawasan tertentu di sungai tersebut yang tanahnya masih luas, jadi ia lebih sesuai dengan menanam buluh. Namun, di kawasan sempit dan berisiko, perlu dipasang pagar penghadang.
“Jadi kita kena tengok keperluan dan kemampuan juga sebelum boleh pasang,” katanya.
Beliau juga turut mempertimbangkan cadangan lain daripada pihak tertentu yang memohon agar tembok tanah dibina di pinggir sungai kerana ia membolehkan kenderaan berhenti dengan berkesan, namun bergantung kepada kewangan.
Sumber: Harian Metro