Kereta Bukan ‘Playground’, Ini 5 Tips Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Kereta

1 day ago 11

Baru-baru ini, tular perkongsian seorang pengguna Threads yang memaparkan video anak-anaknya yang sedang bergiat lasak dalam sebuah kereta.

Menerusi hantarannya, pengguna berniat untuk meluahkan rasa terima kasih kepada produk keluaran kereta tempatan iaitu Perodua kerana dilihat boleh menampung aksi lasak anak-anaknya.

image1

Meskipun hantaran video tersebut berjaya menarik perhatian para ibu bapa yang turut berkongsi geligat anak-anak mereka ketika berada dalam kereta, tapi ramai yang berpendapat yang perkara ini tidak wajar untuk dinormalisasikan atas faktor keselamatan.

Public Health Malaysia yang terpanggil dengan hantaran video tersebut, mengeluarkan satu teguran kepada pengguna tersebut untuk memastikan keselamatan anak-anaknya dalam kereta terjamin terutamanya apabila kenderaan sudah mula bergerak.

Mungkin ada sesetengah dari kita fikir yang kemalangan kenderaan selalunya berpunca daripada faktor di jalan raya, namun tanpa disedari, bahaya juga boleh wujud dari dalam kenderaan itu sendiri.

Jadi untuk artikel kali ini, ini adalah 5 tips keselamatan kanak-kanak ketika berada dalam kereta.

1. Kanak-kanak wajib diletakkan dalam CRS

3 2

Sejak Januari 2020, Kerajaan telah mewajibkan penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak atau Child Restraint System (CRS) untuk kanak-kanak duduk ketika berada dalam kereta.

Fungsi kerusi tersebut adalah untuk mengurangkan risiko kecederaan parah kepada kanak-kanak andai kata berlakunya nahas di jalan raya.

CRS ini juga perlu mengikut standard yang ditetapkan serta tidak semua CRS adalah dalam bentuk yang sesuai. CRS mempunyai pelbagai kategori dan jenis mengikut kesesuaian umur, saiz dan keperluan perkembangan anak-anak.

Dengan penggunaan CRS ini, keselamatan anak-anak yang masih kecil akan menjadi lebih terjamin terutamanya ketika berada dalam kereta yang sedang bergerak.

2. Tali pinggang keledar mesti dipakai sepanjang dalam kereta 

4 1

Bagi kanak-kanak yang lebih besar, seeloknya ibu bapa perlu menerapkan didikan bahawa tali pinggang wajib dipakai sepanjang dalam kereta walau apa jua sekalipun.

Meskipun masih kanak-kanak, mereka seharusnya tahu keselamatan asas mengenai kepentingan memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan dan padahnya sekiranya tidak memakai tali pinggang keledar ketika berada dalam kereta yang sedang bergerak.

Hal ini kerana, kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 8 tahun dikatakan lebih cenderung untuk mengalami kecederaan di dalam kereta berbanding dengan kanak-kanak yang di bawah 4 tahun.

Perkara ini juga berkemungkinan dengan ramai ibu bapa cenderung mengabaikan keselamatan kanak-kanak yang sudah besar.

3. Jangan kongsi tali pinggang keledar 

5 1

Setiap satu tali pinggang keledar memang dikhaskan untuk seorang pengguna saja.

Biarpun saiz si kecil dilihat boleh berkongsi satu tali pinggang keledar, tapi hakikatnya ia tidak dibenarkan dan boleh membahayakan keselamatan mereka.

Kanak-kanak perlu tahu cara-cara pakai tali pinggang keledar yang sebenar agar mereka tidak tersalah faham atau terima amalan pembelajaran yang tidak selamat dan lebih membimbangkan adalah sekiranya diterapkan pula di masa-masa hadapan nanti.

Mereka perlu menggunakan tali pinggang keledar dengan sempurna terutamanya bukan dengan cara menyelit tali pinggang di bawah ketiak mereka meskipun itu adalah cara yang paling selesa bagi mereka.

4. Duduk di kerusi belakang 

6 2

Kanak-kanak di bawah umur 13 tahun disarankan untuk sentiasa duduk di kerusi belakang.

Hal ini adalah untuk melindungi mereka daripada segala kemungkinan kecederaan sekiranya beg udara yang berada di sisi penumpang terbuka.

Walaupun beg udara berfungsi sebagai alat keselamatan pasif untuk mengurangkan risiko kecederaan semasa kemalangan berlaku, tapi ia mampu untuk mencederakan mereka sekiranya mereka duduk di bahagian kerusi hadapan.

5. Duduk dengan tenang 

7 1

Ini adalah tips yang paling penting dan wajar diketahui oleh semua orang secara logik akal.

Sejak kecil, kanak-kanak perlu fahami tentang pentingnya kekal tenang terutamanya ketika berada dalam kereta yang sedang bergerak.

Sekiranya mereka melompat atau menjerit tanpa kawalan, ia boleh menganggu pemandu dan meletakkan semua penumpang dalam keadaan yang berisiko. Hal ini kerana, situasi di jalan raya sentiasa berubah dan sukar dijangka.

Bukan tu je, kereta yang tak bergerak pun boleh jadi bahaya. Contohnya, aksi bergayut pada stereng kereta atau bersandar pada tingkap pun boleh bertukar jadi risiko yang membahayakan.

Oleh itu, ibu bapa dan penjaga disarankan untuk sentiasa mengawasi anak-anak dengan rapi,  duduk dengan betul dan jangan lupa pakai tali pinggang keledar sepanjang berada dalam kenderaan.

Sumber: MKN (1) (2), Kids Health

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |