ijn

Kepakaran perubatan Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila seorang pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) terpilih menyertai pasukan perubatan khas Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

IJN dalam satu kenyataan memaklumkan, Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kegagalan Jantungnya, Datuk Seri Dr Azmee Ghazi, dipilih bagi menyumbangkan kepakaran dalam prosedur perubatan yang bakal dijalani baginda.

Menurut IJN, pemilihan Dr Azmee mencerminkan tahap kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan klinikal serta kepakaran pakar-pakar institusi berkenaan dalam memberikan penjagaan kesihatan bertaraf tertinggi.

“IJN mendoakan agar prosedur berkenaan berjalan lancar dan Sultan Hassanal Bolkiah dikurniakan pemulihan yang cepat serta berterusan,” katanya.

IJN

Artikel berkaitan: Ini Fakta Menarik Tentang Sultan Brunei, Raja Paling Lama Memerintah Setakat Ini

Artikel berkaitan: “Prince charming” – Kenali 7 Putera Raja Yang Dianggap Paling Kacak Dalam Dunia

Undangan menyertai pasukan perubatan Diraja Brunei itu turut disifatkan sebagai satu pengiktirafan profesional yang amat bermakna, sekali gus mengukuhkan kedudukan IJN sebagai pusat kecemerlangan kardiovaskular di peringkat serantau.

Pembabitan tersebut juga membuktikan kepakaran IJN menjadi rujukan merentas sempadan negara, khususnya bagi rawatan kardiovaskular kompleks dan berteknologi tinggi.

IJN turut memaklumkan, penglibatan Dr Azmee menyerlahkan kepimpinan beliau dalam bidang kardiologi lanjutan dan pengurusan kegagalan jantung, selain mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam melahirkan pakar perubatan bertaraf dunia.

Sumber: Facebook IJN

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.