5Curi

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya mematahkan cubaan mencuri kabel sepanjang kira-kira 250 meter di laluan Kempas Baru–Kulai hasil tindakan pantas Pasukan Polis Bantuan (PB) syarikat itu lewat malam Jumaat.

Menurut kenyataan KTMB, Pusat Kawalan Tren menerima maklumat berhubung gangguan sistem persemboyanan pada jam 8.50 malam sebelum pasukan PB digerakkan untuk menjalankan rondaan dan pemeriksaan segera di lokasi terlibat.

Sekitar jam 11.30 malam, anggota keselamatan mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 728.25 di jajaran berkenaan. Suspek dipercayai sedang memotong kabel sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan.

Screenshot 2026 02 22 At 11.15.07 Am

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan PB berjaya menahan lelaki terbabit pada jam 11.47 malam. Pemeriksaan lanjut mendapati kabel jenis empat teras telah dipotong, manakala beberapa beg berisi peralatan pemotong kabel turut ditemui berhampiran lokasi kejadian.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk siasatan lanjut. Semakan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai 28 rekod jenayah lampau.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.