Kantin Sekolah Jual Makanan Tak Berkhasiat? Ini 7 Nutrisi Penting Untuk Anak Membesar Dengan Sihat

1 week ago 33

Baru-baru ini tular satu perkongsian di laman Threads yang mendakwa pihak kantin telah menjual makanan yang tidak berkhasiat untuk pelajar sekolah.

Menerusi hantaran tersebut, pengguna berkenaan meluahkan rasa kecewa terhadap pilihan makanan yang disediakan ekoran hidangan berkenaan dilihat tidak sesuai untuk dimakan oleh kanak-kanak yang sedang membesar.

image 2

Perkongsian itu kemudiannya mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen apabila beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman sama yang mana mendakwa kantin sekolah anak mereka juga menjual makanan yang tidak berkhasiat.

Rata-rata berpandangan perkara ini tidak sepatutnya dipandang ringan kerana kanak-kanak memerlukan nutrisi yang seimbang untuk menyokong tumbesaran, tahap tenaga serta perkembangan mental mereka.

Jadi untuk artikel kali ini, ini ada 7 nutrisi penting yang diperlukan oleh anak-anak untuk mereka membesar dengan sihat.

1. Kalsium 

3 5

Kalsium merupakan antara nutrisi penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi kanak-kanak. Pengambilan kalsium yang mencukupi sejak kecil boleh bantu membina tulang yang kuat serta kurangkan risiko masalah tulang seperti osteoporosis apabila meningkat dewasa. Tapi kadang-kadang ada yang memandang rendah dalam pengambilan kalsium, terutamanya dalam pemilihan makanan harian anak-anak.

Bila ada ibu bapa yang kurang menekankan kepentingan kalsium sejak usia awal, ia secara langsung menyebabkan anak-anak menjadi tak biasa dengan makanan seperti susu atau apa-apa produk tenusu.

Akibatnya bila sudah meningkat dewasa nanti, ada dalam kalangan mereka kurang gemar minum susu yang akhirnya boleh memberi jangka panjang terhadap kesihatan tulang.

Tapi selain susu, makanan seperti yogurt, keju atau ikan sardin juga merupakan antara makanan yang kaya dengan kalsium. Oleh itu, pengambilan kalsium sejak kecil sangat penting dalam memastikan anak-anak mendapat nutrisi yang mencukupi demi mendapat tumbesaran yang sihat dan seimbang.

2. Makanan yang tinggi serat 

4 3

Nutrisi ini adalah antara yang paling kerap diabaikan dalam pemakanan harian. Ramai dalam kalangan masyarakat hari ini tidak mengambil buah atau sayur secukupnya atau yang lebih membimbangkan adalah ada yang langsung tidak makan kedua-duanya.

Kekurangan serat ni boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, jenis barah tertentu serta gangguan sistem pencernaan seperti sembelit.

Dalam hal ini, mungkin pihak kantin sekolah perlu memainkan peranan penting dengan menyajikan pilihan makanan yang lebih seimbang seperti memperkenalkan menu sayur yang diolah dengan cara menarik agar pelajar-pelajar di sekolah tertarik untuk makan.

Selain itu, pihak kantin juga boleh sediakan buah sebagai pelengkap dalam hidangan harian. Hal ini kerana penyediaan buah boleh mengurangkan keinginan mereka untuk mengambil snek dan makanan manis memandangkan buah sudah mencukupi sebagai pilihan manisan yang lebih sihat.

3. Karbohidrat 

5 4

Karbohidrat merupakan nutrien paling penting untuk anak-anak yang masih di sekolah sebab itulah yang dijadikan sebagai sumber tenaga utama untuk mereka menjalani aktiviti harian.

Kanak-kanak sekolah yang aktif memerlukan tenaga yang mencukupi untuk bergerak, bermain, bersukan serta kekal fokus ketika sesi pembelajaran di dalam kelas. Tanpa pengambilan karbohidrat yang mencukupi, mereka akan mudah berasa letih dan kurang bertenaga.

Menurut gambar yang dipaparkan oleh pengguna Threads berkenaan, pengambilan makanan seperti mi segera semata-mata tidak mencukupi untuk menyokong keperluan tenaga kanak-kanak sepanjang hari. Makanan ini memang boleh mengenyangkan, tetapi ia tidak boleh membekalkan tenaga berpanjangan yang diperlukan oleh kanak-kanak yang sedang giat membesar.

Oleh itu, hidangan berasaskan karbohidrat adalah seperti nasi, roti, pasta, bijiran dan kentang adalah lebih sesuai untuk dihidangkan di sekolah kerana ia mampu membekalkan tenaga untuk menyokong tahap aktiviti dan tumpuan mereka di sekolah.

4. Zat besi 

Featured LM 80

Selain itu, zat besi pun antara nutrisi yang penting sebab ia boleh bantu sel darah merah membawa oksigen ke seluruh tubuh badan.

Kekurangan zat besi atau penyakit anemia boleh menyebabkan kanak-kanak mudah berasa letih dan lesu yang akhirnya membawa kepada kesukaran untuk bernafas. Jadi secara tak langsung, perkara ini boleh menjejaskan tahap tenaga dan kebolehan mereka untuk memberi tumpuan dalam aktivti harian dan sesi pembelajaran di sekolah.

Kekurangan zat besi ini juga sering terlepas pandang sebab simptomnya tidak begitu jelas seperti simptom penyakit lain. Ada kanak-kanak yang kelihatan sihat dan aktif, tapi sebenarnya tak sedar yang mereka rupanya kurang mendapat zat besi yang mencukupi.

Oleh itu, antara makanan yang kaya dengan zat besi termasuklah seperti daging merah, ikan, sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam dan sebagainya.

5. Protein 

7 3

Protein adalah antara nutrisi yang paling tidak boleh diabaikan dalam pengambilan makan untuk kanak-kanak membesar dengan sihat.

Walaupun sesetengah sumber protein seperti daging dan ikan turut mengandungi zat besi, namun fungsi kedua-dua nutrisi ini adalah berbeza. Fungsi protein adalah untuk menyokong pembinaan dan pembaikan tisu, manakala zat besi membantu sel darah merah membawa oksigen ke seluruh badan.

Antara sumber makanan yang sangat tinggi protein selain daging dan ikan adalah ayam, udang, telur, tempe, tauhu dan bermacam-macam lagi. Oleh itu, pengambilan protein yang seimbang tetap penting dalam membina dan mengekalkan otot serta tisu tubuh walaupun sudah mengambil nutrisi lain.

6. Vitamin A

9 2

Vitamin A pula adalah untuk meningkatkan sistem penglihatan serta menguatkan tubuh badan kanak-kanak. Nutrisi ini juga boleh memastikan kulit mereka sentiasa sihat, selain daripada menyokong fungsi organ penting seperti jantung, ginjal dan paru-paru.

Kekurangan vitamin A sebenarnya boleh menjejaskan tumbesaran serta kesihatan kanak-kanak secara keseluruhan.

Jadi untuk memastikan kanak-kanak mendapat vitamin A yang mencukupi di sekolah, pihak kantin digalakkan untuk menyediakan makanan seperti telur, sayur-sayuran seperti lobak atau labu serta buah-buahan seperti mangga atau betik.

7. Vitamin C

8 2

Vitamin C pula sangat penting untuk menyokong sistem imuniti kanak-kanak. Nutrisi ini sangat memainkan peranan dalam membantu tubuh kanak-kanak boleh menyerap zat besi dengan lebih baik yang mana sekali gus boleh menyokong perkembangan kesihatan mereka secara menyeluruh.

Antara makanan yang kaya dengan vitamin C termasuklah tomato, brokoli, bayam, lada benggala, buah seperti lemon, mangga atau oren serta buah beri seperti strawberi atau raspberi.

Dengan memperkenalkan makanan ini dalam pengambilan makanan di sekolah, ibu bapa pun tak perlu risau sebab anak-anak akan dapat nutrisi yang mencukupi sepanjang hari.

Selain menyokong tumbesaran dan kesihatan mereka, langkah ini juga boleh membentuk tabiat pemakanan sihat sejak kecil, sekaligus boleh kurangkan kebergantungan kepada makanan ringan atau snek yang kurang berkhasiat.

Sumber: Threads, Hello Doktor

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |