Isu penggunaan istilah dalam media sosial nampaknya bukan sekadar soal bahasa, tetapi ia sebenarnya berkait rapat dengan bagaimana maklumat tersebar di paparan skrin kita setiap hari.
Terbaru, masyarakat disarankan agar lebih berhati-hati dalam menggunakan rujukan terhadap komuniti LGBT dan digalakkan untuk menggunakan istilah “budaya songsang” sebagai langkah membendung normalisasi budaya tersebut.
Artikel berkaitan: “Jangan petik separuh” – Dikecam Kerana Isu LGBT, Menteri Agama Ajak Netizen Dengar Ulasan Penuh
Artikel berkaitan: Didakwa Ada Elemen LGBT, RTM Hentikan Siaran Animasi Santigo Of The Seas
Saranan ini disuarakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, yang menjelaskan bahawa pemilihan istilah yang tepat dalam pengucapan dan penulisan sangat penting bagi mengelakkan budaya tersebut dipromosikan secara tidak langsung.
Beliau menekankan bahawa semakin kerap sesuatu istilah itu disebut atau ditulis di platform digital, semakin besar peluang untuk algoritma media sosial memaparkan kandungan berkaitan secara automatik atau pop-out.
Menurut beliau, tindakan ini perlu diambil bagi memastikan masyarakat tidak terdedah kepada pengaruh kandungan yang boleh merosakkan nilai moral secara tidak sedar. Penjelasan tersebut diberikan sewaktu sesi soal jawab di Dewan Negara bagi menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail mengenai status pemantauan terhadap program-program tertentu yang berunsurkan budaya tersebut.
Menyentuh mengenai isu tular program Glamping with Pride yang mendapat perhatian ramai awal tahun ini, Marhamah mengesahkan bahawa acara tersebut telah pun dibatalkan sepenuhnya. Pihak berkuasa negeri Selangor juga telah memberikan pengesahan bahawa tiada sebarang permit dikeluarkan kepada pihak penganjur untuk menjalankan program berkenaan.
Dalam pada itu, pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa mengambil langkah proaktif dengan memantau rapat setiap pengisian di media sosial. Unit penyelidikan JAKIM kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melaporkan sebarang kandungan yang dikesan melanggar peruntukan undang-undang serta nilai agama, sekali gus memastikan pautan atau hantaran yang tidak bersesuaian diturunkan dengan segera.
Sumber: BFM

20 hours ago
11






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















