Salah satu perkara yang membezakan di antara orang terkenal dengan orang biasa adalah kehidupan mereka biasanya akan didokumentasikan untuk tatapan orang ramai, tapi tak semua ada penamat yang jelas.
Dalam sejarah, ada beberapa individu terkenal yang hilang tanpa penjelasan walaupun siasatan dan pencarian besar-besaran telah dibuat. Ada yang hilang masa sedang membuat perjalanan ke sesebuah lokasi, ada yang tak pulang selepas membuat sesuatu misi dan ada juga yang hilang secara senyap tanpa meninggalkan jejak.
Dekat bawah ni ada enam individu terkenal yang hilang tanpa penjelasan munasabah dan kehilangan mereka ini jadi misteri hingga sekarang.
1. Amelia Earhart

Amelia Earhart merupakan seorang juruterbang Amerika yang terkenal di seluruh dunia kerana pencapaiannya dalam bidang penerbangan, termasuk menjadi wanita pertama yang terbang solo merentasi Lautan Atlantik.
Namun begitu, pada tahun 1937, Amelia dan pemandu arahnya, Fred Noona telah memulakan penerbangan untuk mengelilingi dunia. Mereka meninggalkan bandar Lae di New Guinea untuk menuju ke pulau kecil di Pasifik bernama Howland bagi mengisi bahan api. Semasa cuba mencari pulau tersebut, pesawat mereka telah hilang dari radar dan mereka tak tiba ke destinasi seperti yang dirancang.
Pengawal Pantai A.S. dikatakan telah menerima isyarat radio terakhir daripada Amelia yang mengatakan mereka telah kehabisan bahan api dan tak dapat mencari lokasi Howland. Operasi pencarian dijalankan selama beberapa minggu namun tiada bukti pesawat ditemui dan mereka kemudiannya diisytiharkan hilang dalam penerbangan tersebut.
Selama lebih lapan dekad, banyak teori yang dibangkitkan mengenai apa yang berlaku terhadap Amelia dan Fred. Sesetengah penyelidik mencadangkan bahawa pesawat yang dinaiki terhempas selepas kehabisan bahan api dan ada juga yang mengatakan mereka mungkin mendarat di salah sebuah pulau tidak berpenghuni dan hidup di sana sebelum meninggal dunia. Namun begitu, sehingga hari ini tiada bukti kukuh yang dapat menyelesaikan misteri kehilangan ini.
Artikel berkaitan: Amelia Earhart: Kisah Wanita Pertama Berjaya Terbang Solo Merentasi Lautan Atlantik & Misteri Kehilangannya
2. Richey Edwards

Richey Edwards merupakan seorang ahli muzik dari United Kingdom yang terkenal sebagai pemain gitar dan penulis lagu untuk kumpulan rock bernama Manic Street Preachers. Pada awal tahun 1995, beliau hilang selepas meninggalkan hotel di London beberapa hari sebelum kumpulan ini dijadualkan untuk membuat jelajah ke Amerika Syarikat.
Pada waktu itu, kereta Richey ditemui berhampiran sebuah jambatan yang dikenali sebagai tempat orang bunuh diri namun tiada bukti fizikal seperti mayat atau nota yang memberikan penjelasan tentang apa yang berlaku ke atasnya.
Kisah Richey ini telah menyentuh hati ramai peminat muzik kerana ia berlaku ketika Manic Street Preachers berada di kemuncak kerjaya mereka. Walaupun kehilangan Richey masih menjadi misteri, kumpulan muzik ini tetap meneruskan kerjaya mereka tanpanya. Kehilangan Richey Edwards telah menjadi salah satu kes paling rumit dalam sejarah muzik moden.
3. Oscar Zeta Acosta

Oscar Zeta Acosta merupakan seorang peguam hak sivil, penulis dan aktivis Amerika Syarikat. Beliau terkenal pada tahun 60-an ekoran kerja-kerja yang dibuat untuk komuniti Chicano dan juga kerana dia bersahabat rapat dengan penulis terkenal Hunter S. Thompson.
Pada tahun 1974, setahun selepas buku keduanya diterbitkan, Oscar dikatakan telah hilang semasa berada di Mexico. Sebelum dilaporkan hilang, dia telah menelefon anak lelakinya mengatakan yang dia bakal menaiki bot membawa dadah.
Ekoran ini, beberapa spekulasi mengatakan bahawa lelaki ini telah dibunuh ekoran penglibatannya dengan pengedar dadah dan ada juga yang percaya dia mati kerana overdose dadah.
Oscar kemudiannya telah disahkan meninggal dunia walaupun mayatnya tak pernah ditemui sehingga hari ini.
4. Connie Converse

Penyanyi dan penulis lagu folk, Elizabeth “Connie” Converse telah hilang secara misteri pada 10 Ogos 1974, seminggu selepas menyambut hari lahirnya yang ke-50.
Pada musim panas 1974, Connie yang tinggal di Ann Arbor, Michigan ini telah mengalami kemurungan yang teruk, masalah kesihatan dan keletihan melampau. Selepas melihat Presiden Richard Nixon letak jawatan, wanita ini telah mengambil beberapa langkah iaitu:
- Meninggalkan nota terakhir di mana dia memberitahu keluarga dan rakannya yang dia dah letih dengan kehidupannya. Salah satu petikan dalam nota tersebut mengatakan “Kehidupan manusia mengagumkan saya, ia buat saya rasa sedih dan gembira; saya tak jumpa tempat saya di dalamnya. Jadi tolong biarkan saya pergi.”
- Dia kemudiannya mengisi kereta Volkswagon Beetle miliknya dengan barangan peribadi termasuk gitar dan memandu pergi ketika keluarganya berkumpul dalam acara tahunan.
- Untuk adiknya Philip, wanita ini telah menghantar cek untuk terus membayar insurans kesihatannya sehingga satu tarikh yang ditetapkan.
Ekoran tiada bukti fizikal yang ditemui selepas pemergian Connie, beberapa teori mengatakan yang dia mungkin telah membunuh diri. Ada juga yang percaya dia telah memulakan hidup baru kerana penyiasat persendirian menemui nama Elizabeth Converse di buku telefon Kansas atau Oklahoma namun keluarganya enggan nama tersebut disiasat kerana menghormati permintaan terakhir Connie.
Connie kemudiannya diisytihar meninggal dunia pada tahun 1986. Muziknya tak pernah diketahui oleh orang ramai selepas berpuluh tahun sehinggalah ia ditemui semula pada tahun 2004 dan sebuah album bertajuk How Sad, How Lovely dikeluarkan pada tahun 2009.
5. Jim Thompson

James Harrison Wilson Thompson yang dikenali sebagai “Raja Sutera Thai” telah dilaporkan hilang pada 26 Mac 1967 ketika bercuti di Cameron Highlands, Malaysia. Kehilangannya ini telah menjadi salah satu misteri besar dalam sejarah Asia Tenggara yang tak dapat diselesaikan.
Pada hari kehilangannya, James yang berusia 61 tahun telah meninggalkan Moonlight Bungalow pada jam 1.30 tengahari untuk keluar mengambil angin. Dia dilihat telah meninggalkan tempat tersebut melalui satu-satunya jalan keluar dari estet tersebut sebelum hilang tanpa jejak.
Dia dikatakan telah meninggalkan barangan peribadinya seperti rokok, jaket dan sebuah kotak mengandungi ubat-ubatan miliknya menunjukkan yang dia berhasrat untuk tak keluar lama.
Satu pencarian besar-besaran yang pernah dibuat dalam sejarah Malaysia melibatkan 500 orang termasuk tentera, polis, Orang Asli tempatan selama 11 hari tidak menemukan sebarang petanda sama ada mayat mahu pun baju yang dipakainya.
Jim kemudiannya telah diisytiharkan meninggal dunia pada 1974 dan sehingga hari ini kehilangannya masih menjadi misteri. Rumahnya di Bangkok pula telah menjadi muzium terkenal dan tugu peringatan kepada legasinya.
Artikel berkaitan: Jim Thompson: Kisah Kehilangan Misteri ‘Businessman’ Amerika Di Cameron Highlands Pada 1967
Sumber: Strong Mind, Cameron Highlands, Reddit, History

2 days ago
15















![[VIDEO] Anggota Komando Pat*h Tulang Rusuk Selepas Terjatuh Ketika Aktiviti Payung Terjun](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2025/12/ft-komando.jpg)














:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















