Bagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anak ke sekolah, pasti akan terasa ada perbezaan dalam rutin pagi mereka.
Setiap ibu bapa yang pertama kali menyiapkan anak-anak mereka ke sekolah juga akan mempunyai perasaan yang bercampur-baur antara teruja dan risau. Walaupun seronok tengok anak berpakaian lengkap pakaian uniform sekolah, tapi hati tetap tertanya-tanya sama ada anak sudah bersedia atau tidak untuk menghadap dunia realiti di luar.
Hakikatnya, minggu pertama sekolah bukan sahaja momen mencabar bagi anak-anak, tetapi untuk ibu bapa juga terutamanya bila ini kali pertama mereka hantar anak ke sekolah.
Jadi, macam mana kita boleh memastikan yang rutin pagi tidak menjadi tekanan buat ibu bapa dan anak-anak? Jom kita tengok beberapa tips yang boleh membantu.
Artikel Berkaitan: Kanak-kanak 3 Tahun Cedera Parah Sebab T*rjun Keluar Dari Kereta Masa Hari Pertama Sekolah – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030) Dilancarkan, Perangi Ancaman Siber – Lobak Merah
1. Pastikan anak-anak dapat tidur yang mencukupi

Secara kebiasaannya, memang rutin pagi bersama anak-anak akan diselitkan dengan beberapa adegan drama terutamanya bila mereka tak dapat tidur yang mencukupi.
Anak-anak yang tidur lewat ni selalunya akan susah nak bangun, mudah meragam dan akhirnya lambat bersiap ke sekolah. Jadi disebabkan itu, ibu bapa disarankan untuk sentiasa mendidik mereka tidur lebih awal daripada sebelum-sebelum ini.
Andai kata sebelum ni anak-anak korang selalunya tidur pada jam 10 malam, kali ini korang perlu melatih mereka tidur sekurang-kurangnya sebelum 9.30 malam. Korang sebagai ibu bapa pun kena pastikan cukup tidur sebab korang jugalah yang kena bangun lebih awal.
Lama-kelamaan bila badan mereka sudah terbiasa dengan waktu tidur yang lebih awal, maka proses bangun pagi, mandi dan bersiap tidak lagi terasa seperti sesuatu yang mencabarkan.
2. Sediakan kelengkapan sekolah lebih awal

Selain waktu tidur, persediaan ringkas kelengkapan sekolah juga memainkan peranan besar dalam memulakan rutin pagi. Bagi ibu bapa yang anaknya baru nak masuk darjah satu, ini adalah antara tips yang paling penting sekali.
Sebagai ibu bapa, korang disarankan untuk memastikan uniform sekolah sudah digosok, beg sekolah dan keperluan asas sudah disiapkan malam sebelum hari sekolah supaya rutin pagi korang dan anak-anak tidak menjadi kelam-kabut.
Anak-anak juga perlu diajar secara perlahan-lahan untuk berdikari seperti menggosok gigi, memakai pakaian sehinggalah mengurus barang sendiri. Bila anak-anak sudah pandai mengurus diri di waktu pagi, ibu bapa pun mudah untuk menguruskan urusan lain.
3. Urus pengangkutan anak ke sekolah

Ramai ibu bapa mungkin tak sedar yang salah satu perkara penting bila anak sudah masuk ke alam persekolahan adalah mengenalkan mereka dengan cara macam mana mereka pergi dan pulang dari sekolah.
Kalau anak-anak naik bas, pastikan anak-anak sudah berjumpa dan kenal dengan pemandu bas serta bas yang akan mengambil dan hantar mereka pulang ke rumah. Pengalaman ini akan buat anak-anak lebih yakin dan kurang takut ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah.
Bagi ibu bapa yang hantar dan ambil anak sendiri, korang perlu ajar mereka untuk tunggu di tempat yang betul, kenal kereta dan nombor plat kereta. Tips ini merupakan antara yang penting sebab semakin anak membesar, tidak selamanya ibu bapa boleh turun kereta untuk temani mereka setiap kali nak jemput dari sekolah.
Selain itu, pastikan anak-anak hafal nombor telefon ibu bapa dan bila perlu untuk menggunakannya jika berlaku kecemasan. Dengan langkah-langkah kecil ni, anak-anak bukan saja belajar untuk berdikari, tapi ibu bapa pun boleh tenang bila tengok mereka sudah bersedia untuk menempuh alam persekolahan mereka.
4. Didik anak jadi seorang yang berdisiplin

Kadang-kadang bila dah terbiasa bersama anak-anak hampir setiap waktu, kita lupa untuk mendidik mereka untuk mendengar arahan daripada orang sekeliling mereka.
Perkara ini perlu dididik supaya mereka boleh menumpukan perhatian sepenuhnya dalam segala informasi yang bakal diberikan oleh para gurunya. Bila anak bijak mendengar, maksudnya mereka boleh fokus dan faham apa yang guru nak sampaikan tanpa menggangu sesi pembelajaran.
Selain itu, anak-anak perlu faham yang sekolah ada jadual dan rutin tertentu yang wajib dipatuhi. Dengan mendidik mereka untuk ikuti jadual dan peraturan yang ditetapkan, mereka akan cepat menyesuaikan diri di sekolah sebab mereka dah faham bila masa yang sesuai untuk belajar, bermain atau berehat di sekolah.
5. Sediakan stok untuk barangan sekolah

Antara perkara yang sering dialami oleh para ibu bapa bagi anaknya yang masih di sekolah rendah adalah keperluan sekolah anak mereka cepat habis atau hilang.
Dari pensel, buku, botol air dan kadang-kadang anak tudung pun boleh tercicir dalam minggu-minggu pertama sekolah. Jadi disebabkan itu, ibu bapa seeleoknya untuk selalu adakan stok tambahan barang keperluan sekolah supaya anak-anak sentiasa ada apa yang mereka perlukan tanpa perlu tergesa-gesa membeli di saat akhir.
Bila bekalan asas anak-anak mencukupi, tidaklah mereka pun risau dengan kekurangan alat tulis atau selalu kena pinjam dengan rakan-rakan sekelasnya.
6. Ambil berat dengan perkembangan anak

Lepas sekolah, cuba luangkan masa untuk berborak dengan anak-anak tentang hari persekolahan mereka. Kadang-kadang, mereka akan kongsi pelbagai cerita tanpa henti terutamanya pada hari pertama persekolahan.
Jadi sebagai ibu bapa, korang disarankan untuk mendengar dan fahami apa yang mereka rasa supaya anak-anak akan rasa selamat dan percaya proses persekolahan adalah sesuatu yang normal dan boleh dilakukan setiap hari.
Selain itu, perbualan bersama anak-anak juga boleh melatih mereka untuk bersosial. Dengan menceritakan pengalaman dan perasaan mereka secara interaktif, anak-anak akan belajar menyusun kata-kata, bercakap dengan jelas dan berani mengekspresikan diri. Secara tak langsung, perkara ini boleh bantu mereka jadi lebih yakin untuk berinteraksi bersama rakan sekelas atau para guru.
7. Jaga emosi dan kuatkan mental

Mula-mula, anak-anak memang akan ada perasaan malu dan takut bila tiba-tiba dah kena pergi sekolah. Dalam minggu-minggu pertama, pasti akan ada saja anak-anak yang tak mahu ke sekolah dan tak mahu melepaskan ibu bapanya.
Memang tak dinafikan juga yang rutin pagi pun boleh jadi punca stres bagi ibu bapa, terutamanya bila nak kejar masa antara hantar anak ke sekolah dan sampai ke pejabat tepat pada waktunya.
Dalam keadaan macam ni, ibu bapa sewajarnya untuk kekal tenang dan beri keyakinan pada anak-anak yang sesi persekolahan adalah sesuatu yang menyeronokkan dan seketika sahaja.
Emosi anak-anak pun selalunya bergatung pada emosi ibu bapanya, jadi rutin pagi seeloknya dilakukan dalam keadaan yang tenang dan terkawal agar semua pihak dapat memulakan hari dengan lebih bersedia dan positif.
Tapi pada akhirnya nanti, semua ini hanyalah satu proses saja dan lama-kelamaan korang akan lalui semuanya dengan lebih mudah. Dengan persediaan yang rapi dan rutin pagi yang tenang, ibu bapa yang pertama kali hantar anak ke sekolah pun akan mudah sesuaikan diri dalam menguruskan anak-anak nanti.

2 weeks ago
39











![[VIDEO] Kelindan Lori ‘Lepas Rindu’ Jumpa Mak Ayah Di Tepi Jalan Sebelum Sambung Kerja, Buat Ramai Sebak](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/01/ft-pemandu-lori-lepas-rindu.jpg)


















:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















