Ft Kpkm Agro

Satu lembaran baharu telah dibuka buat para usahawan tani Malaysia menerusi peluncuran program Dunia Agro+ yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini.

Program ini merupakan inisiatif strategik antara KPKM dengan platform e-dagang terkemuka, Shopee Malaysia, yang bertujuan untuk memodenkan rantaian bekalan makanan negara.

Program KPKM Dunia Agro+ direka khusus untuk memastikan kira-kira 200 usahawan daripada pelbagai kategori seperti makanan segar, minuman, snek, dan produk industri asas tani mempunyai literasi dalam perniagaan digital.

Dsc 1134

Fokus utama program ini adalah untuk membantu usahawan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian atau masih baharu dalam penjualan digital agar dapat bersaing dalam ekosistem yang kompetitif.

YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dalam ucapannya menegaskan bahawa pasaran tempatan perlu berkembang melangkaui saluran pemasaran tradisional. Menurut beliau, pengukuhan digitalisasi adalah kunci untuk memastikan hasil tempatan sampai ke pasaran secara cekap, lestari, dan berskala.

Artikel berkaitan : MAHA 2026 Sasar 4 Juta Pengunjung, RM 58 Juta Transaksi Jualan

Artikel berkaitan : Malaysia Jemput Turkmenistan Sertai MAHA, Potensi Luaskan Kerjasama

Tiga Pendekatan Strategik KPKM Dunia Agro+

Bagi merealisasikan matlamat ini, program KPKM Dunia Agro+ menggunakan tiga pendekatan utama:

  • Latihan dan Pembangunan Kapasiti: Peserta akan menerima bimbingan berstruktur melalui Shopee University yang merangkumi strategi jualan dalam talian dan pengoptimuman penyenaraian produk.

  • Pendigitalan dan Penstriman Langsung: Usahawan digalakkan untuk meneroka saluran interaktif seperti livestreaming untuk menarik minat pelanggan secara terus dan meluaskan capaian pasaran mereka.

  • Pakej Sokongan Penjual: Pihak Shopee menyediakan pakej sokongan berstruktur bernilai RM320,000 untuk membantu para penjual meningkatkan keterlihatan kedai dan menambah peluang jualan di platform tersebut.

Dalam pada itu, kolaborasi ini turut melibatkan peranan aktif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menyokong pertumbuhan perniagaan usahawan tani. Usaha ini adalah selaras dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang menekankan tanggungjawab bersama dalam membina sistem agromakanan yang cekap dan mampan.

Dsc 0817 Copy

Menerusi inisiatif seperti Shopee RaiLokal, program ini diharapkan dapat menjadi jambatan yang menghubungkan produk segar dari kawasan luar bandar terus ke tangan pengguna di seluruh negara, sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan dan mengukuhkan ekonomi domestik.

Sumber : KPKM

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.