Dulu Pelakon Popular, Kini Jual Durian & Cempedak, Azar Azmi ‘Merangkak’ Semula Bina Hidup Selepas Direman Polis

16 hours ago 6

Siapa sangka, pelakon yang dulunya lincah dan popular menerusi drama Nur, Azar Azmi rupa-rupanya melalui satu fasa kehidupan yang sangat menyayat hati sepanjang enam tahun kehilangannya dari radar seni.

Menerusi temubual eksklusif dalam rancangan Melodi, Azar akhirnya memecah rasi tentang kehidupannya yang selama ini menjadi tanda tanya peminat.

Azar menjelaskan dia sebenarnya tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan secara total. Namun, sebagai menghormati keluarga mentua selepas mendirikan rumah tangga, dia memilih untuk fokus menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Saya lebih kepada menjaga anak-anak dan sebab itu jugalah saya bertahan. Saya mengimpikan keluarga yang tidak mahu gagal, biarlah sampai mati, tetapi saya pun tidak sangka bila sudah jadi macam ini,” katanya. 

Terkejut ditahan polis & masuk lokap!

Meladan1 1775745137

Nama Azar kembali panas baru-baru ini apabila dia dan suami ditahan polis berkaitan kes penipuan tanah kurnia dan darjah kebesaran. Menurut Azar, dia langsung tidak tahu apa-apa kerana sudah enam bulan tidak memegang telefon bimbit!

“Saya direman serta disoal siasat mengikut segala prosedur dan tiada yang terkecuali. Saya dah (berada) di sini pun, ada juga individu yang tidak berpuas hati, macam mana kau boleh keluar, macam mana kau boleh lepas. Biasalah mulut orang ini kita tidak boleh nak tutup.”

Nafi hidup mewah, pernah jual durian & minta bantuan susu anak

Walaupun tajuk berita menggambarkan seolah-olah dia hidup senang-lenang hasil duit penipuan, Azar mendedahkan realiti sebenarnya jauh berbeza. Dia pernah berniaga kecil-kecilan malah terpaksa menebalkan muka meminta bantuan rakan artis untuk keperluan asas anak.

“Sebab itulah kalau saya cakap saya tidak semewah apa yang ditulis dalam headline itu orang tidak percaya… Masalahnya, kehidupan yang saya hadap, dengan apa yang duit di headline itu tidak sama,” luahnya.

Pernah rasa penat nak teruskan hidup

Detik paling hitam dalam hidupnya adalah apabila melihat diri sendiri memakai pakaian lokap. Dalam keadaan tiada tempat mengadu, Azar hanya mampu berserah kepada Tuhan.

“Saya tiada sesiapa dan tiada tempat mengadu. (Ketika itu) saya cuma ada dinding dan jeriji tiang sahaja. Saya nak bercakap dengan siapa?

Saya hanya mampu berdoa… Saya cukup menjaga nama keluarga dan sampai satu tahap, saya penat sebenarnya untuk hidup,” luahnya lagi. 

Kini, Azar sedang cuba untuk bangkit semula demi dua cahaya matanya walaupun dalam keadaan ‘merangkak’. Dia turut berterima kasih kepada adik-beradik dan segelintir masyarakat yang masih memberi sokongan moral buat dirinya.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |