Selepas beberapa siri letusan Anak Krakatau sejak beberapa hari lalu, abu gunung berapi itu dilaporkan telah mengganggu penerbangan di Indonesia sehingga lapan lapangan terbang terpaksa ditutup, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.
Lebih membimbangkan, abu dilaporkan naik sehingga sekitar 50,000 kaki (15,000 meter) di bahagian tertentu dan dibawa angin ke beberapa kawasan termasuk Jakarta, Banten serta Lampung.
Setakat laporan terkini, lebih 1,500 penerbangan dan kira-kira 170,000 penumpang terjejas akibat gangguan tersebut.
Bila sebut tentang Anak Krakatau, mungkin ramai yang akan teringat satu tragedi pilu yang berlaku pada penghujung 2018.
Sebenarnya, gunung yang kini sedang aktif itu mempunyai sejarah yang sangat panjang dan semuanya bermula dengan salah satu letusan gunung berapi paling dahsyat dalam sejarah moden.
Letusan Krakatau 1883
Sebelum wujudnya Anak Krakatau, terdapat sebuah gunung berapi dikenali sebagai Krakatau di Selat Sunda, antara Pulau Jawa dan Sumatera.
Pada tahun 1883, letusan bermula secara berperingkat sekitar Mei dan semakin dahsyat pada bulan Ogos pada tahun yang sama.
Kemuncaknya berlaku pada 26 hingga 27 Ogos 1883 apabila siri letusan besar menggoncang kawasan tersebut. Letusan itu menyebabkan sebahagian besar pulau Krakatau runtuh ke laut dan menghasilkan tsunami besar yang melanda kawasan pesisir Jawa serta Sumatera.

Letupan gunung boleh didengar satu pertiga penduduk dunia
Menerusi catatan saksi yang direkodkan, gunung berapi itu memuntahkan debu dan gema letupannya boleh didengar satu pertiga penduduk seluruh dunia di lebih 50 lokasi, malah sering dianggap sebagai bunyi paling kuat yang pernah direkodkan dalam sejarah moden.
Begitulah dahsyatnya gambaran letusan gunung berapi itu yang mengorbankan 36,000 orang pada waktu tersebut.
Catatan ahli geologi menyebut Krakatau mengeluarkan kepulan asap setinggi empat kilometer ke udara dan membawa gelombang tsunami setinggi 30 meter tinggi, memusnahkan 165 kampung di pesisir pantai.
Pulau Sebesi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Krakatau, kehilangan semua penduduk seramai 3,000 orang. Kira-kira 18 hingga 21 kilometer batuan terangkat membentuk lembangan sekitar Krakatau.
Iklim berubah, suhu bumi turun
Dalam tempoh lima hari selepas letusan, gelombang bunyi Krakatau mengelilingi dunia sehingga empat kali di setiap arah selama 34 jam yang dikesan di Melbourne dan Sydney di Australia, St Petersburg (Russia), Rom (Itali), Paris (Perancis), selain New York, Washington dan Toronto (Kanada).
Laporan juga menyebut, letusan itu turut mempengaruhi iklim, menurunkan suhu bumi dua darjah Celsius manakala cahaya matahari berubah menjadi warna ganjil. Ada tempat yang matahari terbit lebih lambat manakala malam lebih panjang.

Lahirnya ‘anak’ Krakatau
Selepas tragedi 1883, kawasan tersebut tidak terus sunyi. Pada tahun 1927 iaitu 44 tahun kemudian, muncul gunung berapi baru di lokasi itu, dikenali sebagai ‘Anak Krakatau’ daripada kaldera yang terbentuk selepas letusan dahsyat itu.
Badan Geologi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Indonesia menjelaskan bahawa aktiviti letusan Anak Krakatau bermula sejak 1927 ketika struktur gunung itu masih berada di bawah permukaan laut, sebelum muncul sepenuhnya di atas laut sekitar 1929.

Artikel berkaitan: Flight ‘Cancel’ Gara-Gara Anak Krakatau? Ini Panduan Untuk Rakyat Malaysia Yang Terkandas Di Indonesia
Artikel berkaitan: Tsunami Krakatau: Kanak-kanak 5 Tahun Selamat Lepas Terperangkap 12 Jam Bawah Sisa Runtuhan Tsunami
Anak Krakatau cetus tsunami 2018
Kalau sejarah 1883 sudah cukup menggerunkan, Anak Krakatau sekali lagi membuktikan bahawa gunung berapi ini masih mampu membawa bencana.
Pada 22 Disember 2018, Anak Krakatau mengalami letusan dan sebahagian struktur gunung tersebut runtuh ke laut hingga mencetuskan tsunami di kawasan Selat Sunda.
Bencana tersebut telah mengorbankan lebih 400 orang dan menyebabkan ribuan lagi cedera dengan 22,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Letusan kali ini perlu bimbang atau tidak?

Bagaimanapun, setakat laporan terkini, tiada ancaman tsunami segera dilaporkan berkaitan episod letusan semasa ini, dan pihak berkuasa terus memantau perkembangan gunung tersebut.
Menurut pakar, kejadian letusan gunung ketika ini tidak menimbulkan risiko besar kepada penduduk di Malaysia berdasarkan jarak serta faktor geografi.
Aktiviti gunung berapi Anak Krakatau kembali kepada ciri-ciri letusan Stromboli iaitu jenis atau gaya letusan gunung berapi yang biasanya berlaku secara berkala.
Keadaan Anak Krakatau kini dipantau rapi dan tidak menimbulkan ancaman kepada Malaysia, justeru masyarakat tidak perlu panik atau mengambil sebarang tindakan pencegahan khas buat masa ini. Bagaimanapun, kebarangkalian berlaku letusan susulan dalam masa terdekat masih tinggi.
Sumber: Harian Metro, Kompas, NCEI

3 hours ago
5






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















