Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengambil maklum kenyataan Kementerian Kewangan berhubung peruntukan bagi projek Jalan Luar Bandar (JALB).
KKDW ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan JALB melibatkan projek pembangunan yang dilaksanakan secara berperingkat dan sebahagiannya mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Justeru, peruntukan yang disediakan setiap tahun perlu mengambil kira projek yang sedang berjalan serta projek baharu yang telah diluluskan.
Bagi tahun 2026, projek JALB menerima peruntukan sebanyak RM2.107 bilion. Sehingga 1 September 2026, sebanyak 415 projek telah dilaksanakan dengan perbelanjaan sekitar RM1.995 bilion (94%). Berdasarkan komitmen semasa, keperluan peruntukan dianggarkan sekitar RM4 bilion setahun bagi memastikan pelaksanaan projek dapat diteruskan secara teratur dan mengikut jadual.
Keadaan ini menunjukkan tahap pelaksanaan projek yang aktif di seluruh negara dan keperluan untuk memastikan projek yang sedang berjalan dapat diteruskan dengan teratur sehingga siap.
Dalam menguruskan keperluan tersebut, KKDW sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan peruntukan yang tersedia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Keutamaan diberikan kepada kesinambungan projek yang sedang dilaksanakan supaya manfaat pembangunan dapat sampai kepada masyarakat seperti yang dirancang.
KKDW turut menghargai kelulusan peruntukan RM300 juta oleh Kementeria Kewangan yang akan membantu memenuhi keperluan semasa pelaksanaan projek JALB.
KEUTAMAAN KEPADA KEPERLUAN RAKYAT
Bagi KKDW, pembangunan jalan luar bandar bukan sekadar pelaksanaan projek fizikal. Kemudahan jalan yang baik memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian masyarakat.
Ia memudahkan anak-anak ke sekolah, penduduk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik, petani membawa hasil ke pasaran, peniaga menjalankan kegiatan ekonomi serta masyarakat mendapat akses yang lebih baik kepada pelbagai perkhidmatan asas.
Atas kepentingan tersebut, KKDW akan terus memberi perhatian kepada pelaksanaan projek JALB supaya pembangunan yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
KKDW juga akan terus bekerjasama erat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan bagi memastikan perancangan projek dan keperluan peruntukan dapat diselaraskan secara lebih berkesan dan mampan. Pada masa yang sama, setiap peruntukan akan terus diurus secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi tatacara kewangan Kerajaan.
Keutamaan KKDW kekal kepada rakyat iaitu memastikan pembangunan luar bandar dapat diteruskan, kemudahan asas dipertingkatkan dan manfaatnya sampai kepada masyarakat yang memerlukan.

3 hours ago
11






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















