Orang Utan Sempurna Mati Kebakaran Kalimantan

Hasrat untuk menyelamatkan seekor orang utan jantan yang ditemui dalam keadaan kritikal berakhir dengan pilu apabila haiwan itu disahkan mati beberapa jam selepas ditemui.

Orang utan yang dikenali Sempurna itu ditemui dalam keadaan lemah kerana mengalami gangguan pernafasan yang dipercayai berpunca daripada pendedahan asap kebakaran hutan di Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia.

Menurut Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Kalimantan Barat (BKSDA), Sempurna ditemui penduduk sekitar jam 7 pagi pada 30 Ogos lalu berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Dusun Sempurna.

Susulan menerima laporan daripada penduduk, pasukan BKSDA memberi rawatan kecemasan sebelum membawa Sempurna ke pusat pemulihan Yayasan International Animal Rescue Indonesia (YIARI). Namun, keadaan orang utan tersebut terus merosot sebelum disahkan mati.

Screenshot 2026 09 04 102900

Artikel berkaitan: “Ingat ni acara tahunan ke?” – Netizen Hairan Misi Pemadaman Kebakaran Hutan Di Kalimantan Dibuat Majlis Perasmian

Artikel berkaitan: “Tolong hentikan pembakaran hutan!” – Warga Filipina Berang, Dakwa Terpaksa ‘Tanggung’ Jerebu Indonesia

Hasil bedah siasat pada Isnin mendapati beberapa organ orang utan tersebut mengalami perubahan akibat penyakit, terutamanya paru-paru, jantung dan buah pinggang.

Berdasarkan keadaan kesihatan Sempurna sebelum ini dan hasil pemeriksaan tersebut, masalah pada paru-parunya dipercayai ada kaitan dengan pendedahan kepada asap, yang boleh menjejas fungsi paru-paru dan menyebabkan hipoksia akut, iaitu keadaan di mana tubuh mengalami kekurangan oksigen.

Pengarah BKSDA Kalimantan Barat, Murlan Dameria Pane, meluahkan rasa kesal kerana Sempurna tidak dapat diselamatkan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

“Kami amat kesal Sempurna tidak dapat diselamatkan. Sejak menerima laporan daripada orang ramai, pasukan BKSDA Kalimantan Barat bersama YIARI segera menjalankan operasi menyelamat dan memberikan rawatan perubatan berdasarkan keadaan haiwan itu,” katanya.

Sumber: Sarawak Tribune

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.