syaz ft 2026 01 02T123100.534

Seorang anak muda Malaysia yang bekerja dengan China Media Group (CMG), Isa Zubir, berkongsi pengalaman luar biasa apabila terpilih mewakili negara dalam persembahan budaya sempena Malam Gala Tahun Baharu China 2026 yang berlangsung di Lvliang, Provinsi Shanxi.

Menurut Isa, Lvliang dipilih sebagai lokasi utama sambutan tahun baharu kali ini dan pasukan produksi terpaksa berlepas khas dari Beijing semata-mata untuk menjalani rakaman persembahan.

Rakaman tersebut berlangsung sekitar jam 2 pagi, sejurus selepas salji turun, dengan suhu mencecah -5 darjah Celsius, menjadikan pengalaman itu amat mencabar.

Artikel berkaitan: “Selalu ada untuk memberi nasihat” – Tun Siti Hasmah Genap 99 Tahun, Marina Luah Bangga Jadi Anak Wanita Berprinsip

Artikel berkaitan: Anak Malaysia, Syabira Diangkat Sebagai Juara ‘Great British Bake Off’!

“Memang sejuk sampai ke tulang, tambahan pula kami mengenakan baju Melayu sepanjang rakaman,” katanya sambil menyifatkan pengalaman itu sebagai penat tetapi penuh kenangan.

Lebih istimewa, persembahan tersebut turut diiringi oleh pensyarah muzik dari Indonesia dan China, sekali gus menjadikan kolaborasi itu sebagai simbol pertukaran budaya serantau yang bermakna.

Isa turut menjelaskan bahawa Malam Gala Tahun Baharu China anjuran CMG merupakan antara acara televisyen terbesar dan paling berprestij di China, yang dinantikan oleh lebih 1.4 bilion penonton setiap tahun.

Beliau berkata, penglibatan Malaysia bermula apabila pihak pengurusan diminta menghantar rakaman video persembahan untuk penilaian oleh Ketua Pusat Asia dan Afrika CMG.

“Hanya tiga negara terpilih iaitu Malaysia, Vietnam dan Kazakhstan. Bagi wakil Malaysia, kami mempersembahkan lagu tradisional Wau Bulan bagi mengetengahkan identiti serta keindahan budaya tanah air di pentas antarabangsa,” katanya.

Isa mengakui tidak menyangka diberi kepercayaan untuk terlibat dalam acara berprestij tersebut dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar buat Malaysia.

Sumber: Isa Zubir

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.