Tiga suspek termasuk suspek utama kes pembunuhan seorang pelajar wanita di Cyberjaya, 24 Jun lalu disambung reman tujuh hari bermula hari ini, permohonan reman itu dibenarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani bermula hari ini hingga 10 Julai.
Suasana di Mahkamah Majistret Sepang hari ini bertukar tegang apabila seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa cuba menghampiri suspek.
Artikel berkaitan: Mangsa Kes B*nuh Di Cyberjaya Mungkin Kenali Suspek – Polis
Atikel berkaitan: Suspek Kes B*nuh Penuntut Uni Di Cyberjaya Guna Kad ATM Mangsa Untuk Keluarkan Duit
Suspek utama iaitu seorang lelaki tempatan bersama dua suspek wanita dilihat keluar dari Mahkamah kira-kira jam 9.50 pagi sebelum individu terbabit berjalan menghampiri mereka dengan menjerit.
“Woi!, kau bunuh saya punya adik, pakai otak sikit lah, saya punya adik you (kamu) kasi mati,” teriaknya.
Kejadian itu kemudiannya diredakan oleh pegawai polis yang berada di lokasi selain mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Dalam pada itu, peguam mewakili suspek utama, M Manoharan mempersoalkan tindakan pihak polis yang mengeluarkan kenyataan mendakwa anak guamnya ‘mempunyai niat tidak baik’.
Katanya, proses siasatan masih berjalan dan pihak polis tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana di dalam undang-undang seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan tanpa keraguan.
Sumber: Harian Metro