Usahawan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman diarah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen Sepang atas empat kes memuat naik video sumbang ‘Kelepok Raya’ sempena Aidilfitri, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie pada akhir kes pendakwaan terbabit.
Beliau berkata, video yang dimuat naik itu adalah tidak sopan ketika bulan Ramadan, yang mana bulan umat Islam berpuasa dan harus dihormati.
“Makan di khalayak ramai di bulan puasa juga tidak sopan, apatah lagi memuat naik hantaran video di bulan Ramadan.
“Lebih-lebih lagi menari liuk lentuk dan berpakaian wanita, ia tetap tidak sopan,” katanya.
Artikel berkaitan: “Padahal ramai yang buat video pelik2” – Aliff Syukri Mohon Maaf, Padam ‘Teaser’ MV Lagu Raya
Artikel berkaitan: Aliff Syukri & Iman Troye Lancar Lagu Raya, Netizen Persoal Tindakan Buat Laporan Polis
Sepanjang prosiding, Aliff Syukri diwakili peguam bela, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Mohd. Radzlan Jalaludin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.
Mendengar keputusan itu, usahawan terbabit kelihatan tidak ceria dan beredar daripada mahkamah kerana mempunyai urusan lain.
Mengikut pertuduhan, Aliff Syukri dituduh memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya, dekat sini, pada 24 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Aliff Syukri dikritik ramai susulan memuat naik video raya yang memaparkan aksi keterlaluan bersama beberapa orang penari lelaki yang disifatkan mencemari bulan Ramadan dan sambutan perayaan Aidilfitri.
Sumber: Sinar Harian