Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam telah menerima kritikan hebat daripada warganet susulan penganjuran majlis sambutan Hari Raya yang dikatakan dilakukan secara besar-besaran dan menjemput biduanita negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi terkemuka, Dato’ Jamal Abdillah.
Rata-rata mempersoalkan nilai perbelanjaan KKM bagi penganjuran majlis tersebut, tambahan pula tular beberapa gambar yang memaparkan penyanyi popular tersebut membuat persembahan di majlis itu.
Artikel berkaitan: “Saya yang salah” – Siti Nurhaliza Kongsi Di Sebalik Video Tular Afwa Tutup Muzik Ketika Menyanyi
Artikel berkaitan: Ditegur PHM Mempromosikan Produk Nikotin Di Media Sosial, Siti Nurhaliza Mohon Maaf
“Saya diundang sebagai tetamu, dengan rela hati membuat persembahan”
Susulan kecaman yang diterima KKM termasuklah terhadap biduanita negara itu, Dato’ Siti Nurhaliza kemudian tampil mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya menyangkal dakwaan netizen yang mengatakan dia telah dibayar untuk membuat persembahan di majlis rumah terbuka kementerian tersebut.
Menurut Siti, kehadiran beliau ke majlis tersebut adalah sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang untuk membuat persembahan.
Malah dia juga dengan rela hati telah menyanyi untuk menghargai warga KKM tanpa bayaran.
Anda nak menuding jari atau menzahirkan rasa, pandangan atau sesuatu berkaitan mana-mana badan, jabatan dan sebagainya, jangan kaitkan dan bangkitkan sesuatu yang akhirnya jadi fitnah dan saya pula antara yang diperkatakan dan jadi mangsa tohmahan secara tak langsung.
“Saya diundang sebagai tetamu, saya hadir dan datang menyantuni majlis, dan saya dengan rela hati membuat persembahan (saya tidak diundang atas kapasiti artis yang membuat persembahan), saya hanya ingin menghiburkan semua yang ada semalam, malah saya turut ke majlis2 lain dan kebanyakan tahu, saya akan menyanyi jika keadaan mengizinkan.
“Kepada semua yang menyampaikan hal palsu ini, baik media, individu, netizen, saya berharap agar anda sedar akan implikasi fitnah kepada seseorang,” tulisnya.
“Saya hargai teguran yang diberi” – Menteri Kesihatan
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memberi respon berhubung isu ini melalui akaun X miliknya.
Menurut Dr Dzulkefly, beliau menerima teguran yang disampaikan warganet dan mengesahkan bahawa penyanyi berkenaan telah dijemput sebagai tetamu dan membuat persembahan tanpa bayaran untuk menyantuni Perdana Menteri serta warga besar KKM.
Salam Msia Madani ❤️🇲🇾❤️
Appreciate the concerns voiced. For the record, the person had graciously attended as a guest & performed without payment to honour PMX & our healthcare workers from HQ & facilities, including guests from other agencies, ministries, universities, private… https://t.co/vlukLgbbYy
— Dzulkefly Ahmad (@DrDzul) April 23, 2025
Saya menerima teguran yang diberi. Semoga ia menjadi peringatan kepada semua. Kami akan terus berusaha menangani isu sistemik bagi staf kesihatan kami – itu komitmen saya,” katanya.
Penjelasan ini walau bagaimanapun tidak meredakan kritikan yang dilemparkan netizen terhadap Kementerian Kesihatan yang dikatakan tidak bertimbang rasa dengan nasib staf kesihatan yang berhempas pulas tanpa rehat di hospital.
Pun begitu, diharapkan pihak berwajib dapatlah memberikan penjelasan tuntas mengenai perkara ini dan semoga isu yang disuarakan pekerja kesihatan mendapat perhatian segera.
Sumber: Facebook Siti Nurhaliza, X, Malaysiakini