Julai nanti, kerajaan bakal melancarkan aplikasi mudah alih, MyGOV Malaysia yang akan berfungsi sebagai ‘pintu gerbang digital’ untuk kesemua perkhidmatan utama kerajaan.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, aplikasi berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif GovTech dan apabila dilancarkan nanti, bakal memberikan kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk mengakses pelbagai perkhidmatan menggunakan satu platform sahaja.
Tambahnya lagi, langkah ini merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk mentransformasikan negara kepada negara digital dan ianya boleh dipastikan dengan adanya satu platform untuk rakyat Malaysia bagi mengakses pelbagai perkhidmatan agensi-agensi kerajaan tanpa sebarang masalah.
Difahamkan, aplikasi MyGOV Malaysia ini akan mempunyai 7 perkhidmatan utama termasuk; permohonan passport, pendaftaran kelahiran dan warganegara, pembaharuan lesen memandu dan juga cukai jalan, temujanji dan rekod dengan hospital kerajaan, pembayaran saman, cukai serta kadar taksiran tanah dan juga Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Selain itu, menurut Gobind lagi, aplikasi tersebut akan dipautkan kepada MyDigital ID yang akan membolehkan pengguna untuk log masuk dan mengesahkan identiti mereka ketika menggunakan perkhidmatan kerajaan.
Setakat 23 Jun 2025, terdapat 2.6 juta pengguna telah mendaftar di MyDigital ID dan data ini akan dipautkan kepada 34 sistem kerajaan dan jumlah ini akan ditambah dari semasa ke semasa.
Menurut Gobind lagi, aplikasi MyGOV Malaysia dihasilkan dengan kolaborasi bersama pelbagai pihak swasta termasuk telco dan juga bank bagi memastikan pengalaman pengguna yang selamat dan juga mesra pengguna.
Sumber : FMT