“Tak sangka ini Aidilfitri pertama dan terakhir kami” – Isteri Pilu, Suami Maut Dirempuh Pemandu Mabuk Ketika Bantu Mangsa Kemalangan

2 days ago 15

Satu tragedi menyayat hati menimpa seorang wanita apabila suaminya maut dirempuh pemandu disyaki mabuk hanya tujuh bulan selepas mereka mendirikan rumah tangga.

Mangsa, Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, yang bekerja sebagai penghantar makanan, maut selepas dirempuh ketika sedang membantu mengawal lalu lintas susulan satu kemalangan kecil di Taman Desa Jaya, Johor Bahru awal pagi Ahad.

Menurut isterinya, Suhaidah Yusof, 40, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bakar Batu selepas makan malam bersama rakan-rakan apabila terlihat satu kemalangan kecil berhampiran sebuah stesen minyak.

“Saya yang memandu kereta ketika itu, suami turun untuk bantu. Saya masih menunggu dalam kereta, tiba-tiba saya dengar satu dentuman kuat… kemudian ada orang datang beritahu suami saya kena langgar.

“Saya terus keluar dan nampak dia terbaring… itulah kali terakhir saya melihat dia dalam keadaan masih bernyawa,” katanya sebak ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail, lapor Sinar Harian.

Artikel berkaitan: Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Kejadian Banjir Di Shah Alam

Artikel berkaitan: Dirempuh Kereta Dipandu Bapa Ketika Mahu Alihkan Kenderaan Dari Garaj Ke Luar Rumah, Bayi 12 Bulan Maut

491529311 1153226880178749 3063811529274611093 nSuhaidah menunjukkan gambar photoshoot Aidilfitri bersama arwah suaminya, kenangan terakhir mereka sebagai suami isteri. – Kredit: Sinar Harian

Apa yang lebih memilukan, Aidilfitri kali ini merupakan sambutan pertama mereka sebagai suami isteri yang sah.

Malah, pasangan itu sempat mengabadikan kenangan dengan melakukan sesi fotografi bersama.

“Kami sempat ‘photoshoot’ raya tahun ini. Gembira sangat sebab akhirnya dapat sambut raya bersama sebagai pasangan sah. Tapi saya tak sangka semua itu akan menjadi kenangan terakhir kami berdua,” katanya.

Suhaidah turut berkongsi bahawa tiada sebarang perubahan pelik sebelum kejadian, namun suaminya ada mengadu pening kepala dan kurang bercakap pada malam Jumaat lalu.

“Malam Jumaat tu dia kata badan panas dan pening. Dia banyak berbaring dan berdiam diri. Tapi malam Sabtu tu dia keluar makan dengan kawan-kawan dan cakap sakit kepala dia dah hilang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Mohd Taufik dilanggar sebuah kereta jenis BMW ketika sedang membantu mengawal lalu lintas.

Difahamkan, pemandu berkenaan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan orang awam kira-kira 800 meter dari lokasi sebelum diserahkan kepada polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kota Tinggi untuk dikebumikan.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |