Satu kejadian mencemaskan berlaku semalam di mana seorang lelaki meninggalkan kereta miliknya jenis Honda City di Kilometer 14.0 Jambatan Kedua Pulau Pinang, menghala ke Batu Kawan, sebelum dia dipercayai terjatuh ke laut, pagi tadi.
Menurut laporan Kosmo!, mangsa dikenali sebagai Wong Kah Wai, 33, sehingga kini masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan pasukan keselamatan di lokasi kejadian.
Artikel berkaitan: Terjatuh Dari Air Terjun Setinggi 6 Meter, Warga New Zealand Cedera Tulang Belakang
Artikel berkaitan: 19 Orang Cedera Dalam Insiden Kapal Tentera Laut Mexico Rempuh Jambatan Brooklyn
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan dari pasukan Maritim Malaysia berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.23 pagi tadi.
“Tindakan operasi mencari dan menyelamat dikoordinasi oleh pihak Maritim Malaysia dengan kekuatan logistik sebuah bot termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis marin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kawasan pencarian juga dilakukan di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh dengan kaedah pencarian secara ‘Water Surface Searching’ dan telah dibahagikan kepada empat sektor,” katanya.
Beliau juga mengesahkan, mangsa telah meninggalkan sebuah kereta jenis Honda City di tepi jalan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan operasi pencarian mangsa masih dijalankan ketika ini.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.
Sumber: Kosmo!