Penyanyi hip hop, Sean Diddy Combs atau lebih popular dengan gelaran P Diddy disabitkan bersalah atas 2 kesalahan berkaitan dengan pelacuran.
Namun begitu, penyanyi lagu ‘Last Night’ ini bebas daripada 3 pertuduhan yang lebih serius iaitu pemerdagangan seks terhadap dua individu dan konspirasi jenayah terancang.
Artikel berkaitan : P Diddy Naik Angin Dalam Penjara Lepas Dengar 120 ‘Mangsa’ Bakal Kemukakan Saman, Tegas Semua Dakwaan Palsu
Artikel berkaitan : Sean P Diddy: Kisah Sisi Gelap Superstar Hollywood Yang Jijik & Menggemparkan Dunia! Ini Apa Yang Korang Perlu Tahu..
Menurut sumber, perbicaraan kes jenayah yang berprofil tinggi itu berlangsung selama 7 minggu di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS). Combs sebelum ini mengaku tidak bersalah atas kesemua 5 pertuduhan berkenaan.
Dengan keputusan mahkamah, penyanyi rap dan komposer itu secara langsung terlepas daripada 3 pertuduhan utama seperti konspirasi jenayah terancang yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup, pemerdagangan seks terhadap bekas teman wanita, Cassie Ventura bersama seorang individu yang identitinya dirahsiakan yang memperuntukkan penjara minimum 15 tahun atau seumur hidup.
Pun begitu, Combs hanya berdepan dengan hukuman penjara maksimum 1 tahun bagi setiap 2 pertuduhan iaitu membawa Ventura dan seorang individu itu untuk tujuan pelacuran.
Hakim, Arun Subramanian menjatuhkan hukuman terhadap Combs pada tarikh yang akan diberitahu kemudian. Sebaik sahaja hakim menamatkan prosiding dan peguam untuk kedua belah pihak beredar, Combs dilihat melutut di hadapan kerusinya seperi sedang berdoa.
“Saya akan pulang tidak lama lagi, saya sayang kamu semua. Terima kasih.”
Selepas keputusan dibacakan, Peguambela, Marc Agnifilo memohon Subramanian untuk membenarkan Combs bebas dengan ikat jamin, namun pihak pendakwaan menolak.
“Ini sabitan pertamanya dan ia kesalahan pelacuran, jadi dia mesti dibebaskan dengan syarat yang sesuai.”
Hakim kemudiannya meminta peguam bagi kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujah bertulis mengenai keperluan sama ada beliau perlu membenarkan Combs bebas sebelum jam 1 tengah hari, Rabu atau sebaliknya.
Untuk rekod, 16 September tahun lalu, pelantun lagu Come To Me itu telah ditangkap berhubung dakwaan melakukan aktiviti pemerdagangan seks dan kegiatan haram bagi mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik entiti yang sah.
Skandal tersebut telah menggemparkan industri muzik di Amerika Syarikat sehinggakan nama selebriti lain juga terheret pernah menyertai parti anjurannya yang berunsurkan seksual iaitu ‘Freak-Off’.
Pihak berkuasa AS melakukan siasatan terperinci terhadap Combs pada Mac lalu termasuk serbuan ke atas hartanahnya di Los Angeles dan Miami sambil disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen.
Sumber : Sinar Harian