syaz ft 2026 01 09T121545.296

Sebuah pusat hiburan di Melaka Raya bertukar kecoh awal pagi tadi apabila rasa tidak puas hati terhadap pemilihan lagu mencetuskan satu kejadian rusuhan.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu dipercayai bermula daripada provokasi dan salah faham melibatkan empat individu yang berada di bawah pengaruh alkohol. Keadaan tersebut kemudiannya menarik perhatian orang awam di lokasi sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan kecil.

Artikel berkaitan: Konon Kata ‘Outstation’, Sekali ‘Kantoi’ Lepas Dapat Tahu Suami R*ntung Di Pusat Karaoke

Artikel berkaitan: Menteri Agama Tegur Isu Lirik Lagu Tidak Senonoh, Tekankan Seni Perlu Selari Dengan Syarak

Susulan kejadian itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan bantuan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan enam lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

“Kekecohan itu turut menarik perhatian orang awam yang berada di tempat kejadian sehingga berlaku rusuhan kecil.

Tangkapan yang dibuat turut membawa kepada rampasan sepucuk pistol disyaki tiruan daripada salah seorang suspek,” Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

Dalam pada itu, pihak polis turut mengambil keterangan daripada 12 saksi bagi membantu siasatan dan mengesahkan bahawa tiada sebarang bunyi letupan senjata api didengari sepanjang kejadian tersebut.

Penjelasan ini dibuat bagi menepis spekulasi yang tular di media sosial mengenai dakwaan berlakunya tembakan.

“Di sini pihak IPD Melaka Tengah menyangkal dakwaan berlakunya tembakan dan penemuan dua kelongsong peluru seperti yang tular di media sosial.

Kes masih di peringkat siasatan dan menegaskan agar orang awam tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat tidak sah,” katanya lagi.

Kini, kesemua suspek sedang disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang merangkumi Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam rusuhan.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.