“Sudah 11 tahun…” – Pencarian Semula MH370 Bermula Akhir Disember Nanti, Ini Kronologi Misteri Kehilangan MH370

7 hours ago 7

Lebih 10 tahun berlalu sejak pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak, menjadikannya antara misteri penerbangan paling sukar dirungkai sampai hari ini.

Walaupun dah banyak operasi pencarian besar dijalankan melibatkan pasukan dari seluruh dunia, apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat itu dan 227 penumpang serta 12 anak kapal masih belum terjawab hingga hari ini.

Menurut Berita Harian, operasi pencarian semula MH370 bakal kembali bersambung semula pada 30 Disember nanti sebagai harapan kita dapat menemukan sebuah jawapan satu hari nanti.

Sebelum ini, kawasan Lautan Hindi memang pernah diteroka, namun yang dijumpai hanyalah beberapa serpihan kecil yang terdampar di pantai. Sehingga hari ini, tiada siapa lagi pernah jumpa mayat atau bahagian besar pesawat yang memberi jejak pada kehilangan MH370.

Bila pencarian diaktifkan semula, mungkin ada yang tertanya-tanya macam mana kisah kehilangan MH370 ini bermula. Jom kita imbau kembali detik-detik awal kehilangan MH370.

‘Selamat malam, rakyat Malaysia 370’ 

selamat malam mh370

Pesawat Boeing 777 itu dilaporkan hilang daripada radar kawalan udara kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Ketika itu, panggilan radio terakhir daripada juruterbang hanyalah ucapan rutinnya iaitu ‘Good night, Malaysian Three Seven Zero’ sebelum pesawatnya memasuki ruang udara Vietnam dan sejurus itu, tiada lagi kedengaran sebarang komunikasi.

Beberapa minit kemudian, transponder pesawat yang biasanya menghantar lokasi kapal terbang tiba-tiba berhenti berfungsi. Radar tentera kemudian mengesan pesawat berpatah balik dan bergerak ke arah Laut Andaman, manakala data satelit menunjukkan ia mungkin terus terbang selama beberapa jam sebelum dipercayai terhempas di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Sejak itu, pelbagai teori muncul dan idealogi ciptaan netizen yang mengatakan menjadi punca kepada tragedi kehilangan MH370.

Namun menurut AP News, sebuah siasatan pada tahun 2018 telah mengesahkan bahawa mereka tidak menemukan apa-apa yang mencurigakan dalam kalangan penumpang atau anak kapal di samping tidak menafikan bahawa ada individu yang telah memutuskan komunikasi pesawat dan mengubah laluan kapal terbang secara sengaja.

Pencarian besar-besaran 

mh370

Operasi pencarian MH370 bermula di Laut China Selatan iaitu antara Malaysia dan Vietnam, sebelum diperluaskan ke Laut Andaman dan akhirnya ke selatan Lautan Hindi.

Kawasan pencarian diperluaskan selepas pesawat disahkan berpatah balik dan beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China serta Amerika Syarikat turut menghantar anggota dan aset masing-masing untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, data satelit menunjukkan kemungkinan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi dan Australia dilantik mengetuai operasi mencari di kawasan tersebut melalui Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).

Operasi ini menjadi paling besar dalam sejarah dengan melibatkan lebih 26 negara dan menelusuri kawasan seluas lebih 2.24 juta batu nautika persegi, termasuk pencarian di dasar laut untuk mengesan ‘pinger’ kotak hitam pesawat. Pelbagai kaedah digunakan seperti pesawat, kapal yang dilengkapi dengan sound navigation and ranging (sonar) dan kapal selam bagi menjejaki sebarang petunjuk MH370.

Penemuan serpihan MH370 

serpihan mh370

Seorang pekerja pembersih pantai di pulau La Reunion di Lautan Hindi telah menemui bahagian sayap yang dipanggil sebagai ‘flaperon’ sepanjang 2.7 meter.

Para pakar juga percaya yang ianya milik kepada sebuah pesawat jenis Boeing 777. MH370 pula adalah satu-satunya pesawat jenis Boeing 777 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi.

Pada 6 Ogos 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib turut mengesahkan bahawa ‘flaperon’ yang ditemukan di pulau tersebut adalah sebahagian daripada pesawat MH370.

nst flaperon‘Flaperon’ yang disahkan sebahagian daripada pesawat MH370

Kemudian, beberapa serpihan dijumpai lagi di Mozambique, Afrika Selatan dan Mauritius. Pada waktu itu, Department of Civil Aviation dan Australian Transport Safety Bureau (ATSB) cuma dapat mengesahkan hanya dua serpihan sahaja daripada pesawat MH370, manakala empat sahaja hanya ‘hampir pasti’ daripada MH370 daripada 24 serpihan.

ATSB yang mengetuai operasi pencarian di selatan Lautan Hindi itu menjelaskan yang kawasan pencarian kapal pesawat MH370 merupakan bukan tempat terletaknya bangkai pesawat MH370.

Sejak itu, operasi pencarian MH370 di dasar laut di Lautan Hindi dihentikan oleh Malaysia, Australia dan China pada tahun 2017.

Ocean Infinity memulakan semula pencarian 

ocean infinity

Usaha mencari MH370 diteruskan apabila syarikat marin Amerika Syarikat iaitu Ocean Infinity memulakan semula pencarian di dasar laut meskipun ianya berakhir tanpa menemui hasil konkrit.

Seorang nelayan di Madagascar dikatakan telah berjaya menemukan satu serpihan baharu yang menjadi petunjuk baru dalam misteri yang berlanjutan ini.

Pada Disember 2021, seorang jurutera aeronautik Britain bernama Richard Godfrey telah meramalkan lokasi terakhir MH370 di Lautan Hindi pada kira-kira 2,000 km dari barat Perth dan ketua ATSB iaitu Angus Mitchell, mengesahkan yang beliau turut mempertimbangkan cadangan berkenaan.

anthony loke

Pada tahun 2024, Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke juga mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia bersetuju untuk menerima tawaran Ocean Infinity untuk meneruskan usaha pencarian di lokasi baharu di selatan Lautan Hindi dengan prinsip ‘tiada penemuan, maka tiada bayaran’.

Kemudian pada tahun 2025, MOT memaklumkan pihak kerajaan juga tekad dalam meneruskan usaha pencarian MH370 termasuk usaha menyelesaikan perjanjian pencarian baharu yang mengikut prosedur negara.

Operasi pencarian ini dijangka disambung semula pada 30 Disember bersama Ocean Infinity yang mengesahkan pencarian secara berperingkat di dasar laut selama 55 hari.

Mahkamah Beijing arah MAS bayar pampasan kepada keluarga? 

mas

Menurut Berita RTM, Malaysia Airlines (MAS) diarah untuk membayar pampasan kepada keluarga lapan penumpang pesawat MH370 yang hilang itu.

Perintah itu dikatakan telah dikeluarkan oleh sebuah mahkamah di Beijing lebih sedekad selepas pesawat itu hilang. Pampasan setiap keluarga ini melebihi 2.9 juta yuan iaitu bersamaan dengan RM2 juta yang merangkumi kos pengebumian, tekanan emosi dan kerugian lain.

Daripada 78 tuntutan asal, sebanyak 47 saman telah diselesaikan di luar mahkamah, manakala 23 kes masih belum selesai kerana ada waris yang belum lengkapkan proses pengisytiharan kematian. Lapan penumpang yang menerima pampasan telah diisytiharkan meninggal dunia secara sah.

Pengumuman ini dibuat beberapa hari selepas Malaysia mengumumkan pencarian MH370 akan disambung semula akhir Disember nanti ekoran pesawat ini membawa dua pertiga daripada warganegara China.

Namun, pihak kami sedang menghubungi dengan pihak MAS untuk mendapatkan maklumbalas mengenai perkara ini.

Walaupun dah bermacam operasi pencarian dijalankan dan serpihan pesawat ditemukan di beberapa lokasi, sehingga hari ini kita masih tidak berjaya perolehi jawapan yang kukuh mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada MH370.

Misteri kehilangan pesawat ini terus meninggalkan pelbagai persoalan terutamanya bagi keluarga penumpang dan anak kapal yang tentunya sentiasa menantikan jawapan yang belum tiba.

Sehingga hari ini, kehilangan MH370 tetap menjadi salah satu misteri penerbangan paling besar buat negara Malaysia.

Sumber: Astro Awani, AP News

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |