Subsidi Caruman 70% Berita Gembira Buat Penggiat Seni

8 hours ago 8

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini melipatgandakan usaha untuk memastikan golongan penggiat seni mendapat perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya, memandangkan kadar penyertaan sektor ini masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mendedahkan bahawa setakat November lalu, hanya 1.12 peratus atau 9,660 orang penggiat seni mencarum dengan PERKESO, berbanding jumlah keseluruhan 860,016 individu bekerja sendiri yang kini dilindungi.

Bagi menangani jurang ini, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 telah memperuntukkan subsidi sebanyak 70 peratus bagi menampung caruman skim LINDUNG Kendiri untuk sektor yang belum diwajibkan mencarum, termasuk sektor seni.

MFR03829

Steven Sim menekankan bahawa perlindungan ini amat kritikal kerana penggiat seni—terutamanya mereka yang terlibat dalam kerja-kerja teknikal dan produksi—terdedah kepada risiko pekerjaan yang tinggi dan tidak dijangka.

“Oleh itu, kita akan gandakan usaha dan uar-uarkan mengenai peruntukan caruman padanan, khususnya dalam kalangan penggiat seni kerana mereka juga terdedah kepada pelbagai risiko pekerjaan luar jangka.” 

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Muzikalisasi LINDUNG: Hati Nan Prihatin, sebuah acara anjuran bersama PERKESO, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bukti Perlindungan: RM25.9 Juta Telah Disalurkan

Sebagai bukti komitmen PERKESO dalam melindungi kebajikan pencarum, agensi tersebut telah menyalurkan manfaat bernilai RM25.9 juta kepada 6,815 penerima di bawah skim LINDUNG Kendiri bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025.

Ini menunjukkan bahawa skim keselamatan sosial ini bukan sekadar caruman, tetapi jaminan kelangsungan kebajikan jangka panjang bagi mereka yang bekerja sendiri.

Berbeza dengan kempen konvensional, program “Muzikalisasi LINDUNG” menggunakan elemen seni persembahan seperti bacaan puisi, sketsa, syair, dan monolog untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mencarum.

Program ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh penting industri termasuk Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal; dan Presiden PROFIMA, Khalil Hj Saleh.

Artikel berkaitan : Waris Mangsa Tragedi Kepala Air Pintasan Saloma Terima Faedah Sepanjang Hayat – PERKESO

Artikel berkaitan : Tambah Elaun, Naik Fi Latihan! PERKESO Tambah Lagi Manfaat Orang Hilang Kerja

Untuk rekod, PERKESO telah menjenamakan semula skim perlindungannya di bawah nama “LINDUNG” bermula Ogos 2025. Penjenamaan ini merangkumi LINDUNG PEKERJA (Akta 4), LINDUNG KERJAYA (Akta 800), LINDUNG KENDIRI (Akta 789), dan LINDUNG KASIH (Akta 838) bagi memudahkan rakyat memahami dan mengingati hak perlindungan mereka.

Maklumat lanjut mengenai skim dan bantuan boleh didapati di laman web rasmi www.perkeso.gov.my.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |