Sepasang suami isteri warga emas telah ditahan polis selepas disyaki dengan sengaja melanggar lari seorang pemandu lori dalam kejadian di Bandar Teknologi Kajang, Kajang, pada Jumaat lalu.
Kedua-dua yang masing-masing berusia 70 dan 65 tahun telah ditahan pada jam 11.15 malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada wanita berusia 63 tahun yang juga ibu mangsa pada 4.54 petang semalam.
Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa anak lelaki berusia 42 tahun dilanggar sebuah kenderaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan tidak boleh bergerak.
“Pengadu kemudian terus ke lokasi kejadian di kawasan berhampiran Bandar Teknologi Kajang dan membawa anak lelakinya ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya.
Artikel berkaitan: Kereta Terbabas Langgar Pagar Rumah, Ibu & Anak Dalam Kandungan Berusia 35 Minggu Meninggal
Artikel berkaitan: Kereta Mercedes Terbakar, Pemandu Didakwa Suspek Langgar Lari Motosikal?
Bertindak atas laporan, sepasukan polis menjalankan siasatan mendapati terdapat satu rakaman video papan pemuka kenderaan awam yang merakam kejadian berkenaan.
Rakaman itu memaparkan sebuah kenderaan dengan sengaja melanggar mangsa yang turun dari lori yang dipandunya sehingga diseret ke tengah pembahagi jalan sebelum kenderaan suspek beredar.
Polis kemudian mengesan dan menahan suami isteri warga tempatan untuk membantu siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan. Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat terlibat di talian 019-6369835 atau mana-mana balai polis berdekatan, bagi membantu siasatan.
Sumber: Buletin TV3