Polis hari ini mengesahkan bahawa pihaknya merakam keterangan ibu kepada kanak-kanak autistik mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matin berhubung satu video terkini yang tular di media sosial.
Dalam video tersebut, kelihatan Ismanira Abdul Manaf sedang berjalan sambil memegang tangan dua orang anaknya termasuk Zayn Rayyan di sebuah kawasan letak motosikal yang terletak di Apartment Idaman Damansara Damai dekat Petaling Jaya.
Artikel berkaitan : Hakim & Saksi Turun Padang, Lawat Lokasi Kejadian Kes Zayn Rayyan Di Apartment Idaman
Artikel berkaitan : “Anjing K9 tak dapat kesan jejak Zayn Rayyan” – Saksi
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, proses rakaman keterangan pengadu itu dijalankan pihaknya kelmarin.
“Bagaimanapun, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh tidak menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu kerana kejadian permulaan berlaku di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.”
“Justeru, laporan terbabit dirujuk semula kepada laporan pertama iaitu di IPD Petaling Jaya.”
Semalam, Balai Polis Kampung Subang ada menerima satu laporan daripada Ismanira berikutan dengan video terbabit pada jam 2.43 petang Ahad lalu.
Ismanira menjelaskan bahawa dia ada terima satu hantaran daripada TikTok menerusi aplikasi WhatsApp pada 6 Mac lalu.
Dikatakan, dia membuat laporan polsi tersebut kerana merasakan keselamatan dan keluarganya berada dalam keadaan terancam.
Sumber : Berita Harian