Pernah Tular Kisah 3 Beradik Dihalau, Kini Haziq Raih Kejayaan & Bergelar Leftenan Muda

15 hours ago 18

Siapa sangka pemuda yang pernah berdepan episod pahit dalam hidup sehingga kisahnya tular di media sosial, kini berjaya menamatkan pengajian dengan pelbagai pencapaian membanggakan termasuk bergelar Leftenan Muda.

Pemuda yang dikenali sebagai Haziq sebelum ini pernah mencuri perhatian selepas kisah dia bersama dua adik-beradiknya dicaci dan dihalau keluar dari rumah oleh ibu saudara mereka pada April 2024.

Lebih memilukan, ketika kejadian itu berlaku, tiga beradik tersebut baru sahaja kehilangan ibu mereka.

Namun, hampir dua tahun berlalu, Haziq kini tampil dengan kisah yang jauh berbeza. Daripada melalui fasa kehidupan yang penuh air mata, pemuda itu akhirnya berjaya membuktikan bahawa segala dugaan yang dilalui tidak menghalangnya untuk terus melangkah.

Menerusi perkongsian Haziq, permulaan kehidupannya di universiti bukanlah sesuatu yang mudah selepas kehilangan ibunya.

Artikel berkaitan:Ibu Dihalau 2 Anak & Dihantar Ke Rumah Orang Tua Dengan Alasan Banyak Tanggungan

Artikel berkaitan: Ibu Tunggal Anak Enam Dihalau Dari Rumah Sewa Kerana Tuan Rumah Tidak Tahan Kritikan di Media Sosial

Bagaimanapun, sepanjang tiga tahun bergelar mahasiswa Program Sarjana Muda Linguistik Melayu di Universiti Malaya (UM), dia berjaya mengubah segala kepahitan itu menjadi pembakar semangat untuk mencapai kejayaan.

Antara pencapaian Haziq termasuk menerima Anugerah Dekan atas kecemerlangan akademik serta Anugerah Mahasiswa Terbaik ketika berada di tahun ketiga pengajian.

Bukan itu sahaja, Haziq turut mencipta kejayaan apabila ditauliahkan sebagai Leftenan Muda selepas menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

@zulhaziyqqqq

iya, hinaan ini pernah bergema 3 tahun yang lalu.. Terima kasih untuk setiap kata-kata yang pernah dilontarkan. Walaupun pedihnya menghiris segala rasa di hati, walaupun sakitnya seakan-akan meruntuhkan seluruh harapan, namun pada hakikatnya ketahuilah bahawa setiap hinaan itulah mengajarkan diri ini untuk berdiri, bertahan dan terus melangkah, biarpun jalan yang ditempuh itu tidak sentiasa menjanjikan kemudahan. Siapa sangka? permulaan perjalanan di universiti yang tidak begitu baik dek kerana pemergian ibu, akhirnya berubah kepada pengakhiran yang begitu indah. Begitu banyak pencapaian, kejayaan dan kenangan yang dapat diraih dan dirasai sepanjang 3 tahun di sini. Mungkin inilah hikmah yang tuhan janjikan.. Setiap satu perkara ini sememangnya tidak mampu diraih tanpa doa dan semangat yang hadir daripada semua. Terima kasih kerana pernah menitipkan doa dan sentiasa memberi semangat tatkala diri ini rapuh, tatkala segalanya mulai goyah dan tatkala perjalanan serasa berat untuk diteruskan. Setiap doa, kata-kata dan sokongan yang diberikan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah ini. Semoga lebih banyak kejayaan yang akan diraih dan impian yang selama ini diidamkan mampu untuk dicapai… amin 💫

♬ Duka x serana – أسرا

“Siapa sangka? Permulaan perjalanan di universiti yang tidak begitu baik dek kerana pemergian ibu, akhirnya berubah kepada pengakhiran yang begitu indah.”

Pada masa yang sama, Haziq turut berkongsi semula rakaman suara yang mengandungi kata-kata cacian yang pernah dilemparkan kepadanya dan adik-beradiknya.

Walaupun mengakui kata-kata tersebut pernah menghiris hatinya, Haziq memilih untuk melihat pengalaman itu dari sudut berbeza yang mengajarnya untuk menjadi lebih kuat.

Difahamkan, Haziq sudah tidak lagi berhubung dengan ibu saudaranya selepas kejadian terbabit.

Sumber: TikTok

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |