Waris dua remaja yang baru menempuh alam pekerjaan kira-kira setahun, sebelum terkorban dalam kemalangan tragis, kekal layak menerima faedah LINDUNG 24 Jam.
Berdasarkan semakan rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Muhammad Izdihar Rafiq Sarajil Korin mula mencarum apabila diambil bekerja pada Januari tahun ini, manakala rakannya, Muhamad Faiz Danial Jumri yang turut maut dalam insiden sama kelmarin, disahkan berkhidmat sejak Ogos tahun lalu.
PERKESO mengesahkan perkara itu memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa yang berusia 19 tahun tetap memilih untuk meneruskan caruman LINDUNG 24 Jam.
“Meskipun kemalangan berlaku di luar waktu kerja, nasib waris iaitu ibu bapa dan adik-beradik mangsa yang mungkin sebelum ini pernah bergantung harap pada arwah, masih tetap terbela.
“Inilah tujuan sebenar LINDUNG 24 Jam diwujudkan kerana ia masih menyediakan jaminan kelangsungan kehidupan bagi kes kemalangan di luar waktu pejabat, meskipun pekerja baru sahaja mula mencarum dengan PERKESO.
“Kehilangan insan tersayang memang tiada galang ganti, tetapi sekurang-kurangnya arwah pergi meninggalkan khidmat bakti menerusi faedah PERKESO yang terus mengalir untuk keluarga.”
Waris Terima Faedah Orang Tanggungan

Waris Allahyarham Muhammad Izdihar layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM945, mengikut syer masing-masing, dengan ibu dan bapanya mendapat bayaran berkenaan untuk sepanjang hayat manakala tiga adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.
Bagi Allahyarham Muhamad Faiz, bayaran FOT sebanyak RM891, mengikut syer masing-masing, akan disalurkan untuk sepanjang hayat kepada ibu bapanya, manakala seorang adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.
Selain itu, kedua-dua waris mangsa layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.
LINDUNG 24 Jam memperuntukkan kelangsungan gantian pendapatan dalam jangka panjang kepada waris sekiranya berlaku insiden tidak terduga terhadap pencarum.
Sehubungan itu, jumlah keseluruhan bayaran pencen berkala menerusi FOT untuk tempoh 15 tahun kepada waris mangsa dalam kes kemalangan tragis ini menjangkau lebih RM275,000.
12.4 Peratus Pekerja Sebelum Ini Opt-Out

“Malang tidak berbau dan takdir tidak mampu dielakkan, namun keputusan arwah untuk tidak memilih keluar (opt-out) daripada LINDUNG 24 Jam terbukti tepat kerana menjamin kelangsungan hidup serta masa depan tanggungannya.
“Diharapkan, kisah ini berupaya dijadikan teladan kepada 12.4 peratus pekerja yang sebelum ini opt-out atau tidak menyertai LINDUNG 24 Jam memandangkan keputusan penting ini tidak wajar dipandang ringan.
“Jika dilihat kepada angka untuk tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, kadar purata tuntutan faedah melonjak lebih empat kali ganda, dengan Ogos merekodkan permohonan faedah akibat kemalangan mencecah 113 kes sehari.”
Justeru, PERKESO menggesa supaya keputusan opt-in atau kembali menyertai LINDUNG 24 Jam yang kini boleh dilaksanakan secara dalam talian harus diberikan pertimbangan sewajarnya.
Opsyen kembali menyertai LINDUNG 24 Jam boleh dilakukan melalui portal lindungfaedah.perkeso.gov.my dengan salinan deklarasi berkenaan turut diserahkan kepada majikan bagi tujuan kemas kini caruman PERKESO.
LINDUNG ialah penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial PERKESO yang dilancarkan pada 22 Ogos 2025 sebagai langkah strategik memperkukuh peranan dalam melindungi rakyat.
Sementara itu, bermula 1 Jun 2026, LINDUNG 24 Jam dikuatkuasakan yang memberi perlindungan jika berlaku kemalangan di luar waktu kerja di dalam negara bagi pekerja yang mencarum LINDUNG Pekerja.

18 hours ago
20






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















