Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menegaskan pendirian kukuh negaranya untuk mengiktiraf Negara Palestin dalam usaha menyokong penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan.
Beliau menyatakan perkara itu dalam ucapan bertajuk “Paris Call for the Two-State Solution, Peace and Regional Security” anjuran Forum Keamanan Paris.
Memetik laporan Astro Awani, Barrot berkata sudah tiba masanya untuk membawa penyelesaian politik kepada rakyat Palestin, sambil menekankan komitmen Perancis untuk menegakkan hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri melalui pengiktirafan negara mereka.
Barrot juga memaklumkan bahawa isu ini akan menjadi tumpuan dalam persidangan yang dijadual berlangsung hujung bulan ini di New York, dianjurkan oleh Perancis dan Arab Saudi dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata penyelesaian politik yang dicadangkan bukan sahaja melibatkan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju dengan tadbir urus baharu, malah turut menjamin keselamatan rakyat Israel dan Palestin secara menyeluruh.
Dalam ucapannya, beliau turut menyeru kepada komuniti antarabangsa agar menunjukkan keberanian dan tindakan kolektif demi menuju ke arah keamanan. Beliau mengulangi gesaan kepada gencatan senjata segera, pembebasan semua tawanan tanpa syarat serta penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza secara besar-besaran tanpa halangan.
Barrot juga melahirkan kebimbangan terhadap ancaman yang semakin meningkat terhadap penyelesaian dua negara akibat tindakan unilateral, peluasan penempatan, kebencian mendalam serta keruntuhan proses damai. Katanya, terlalu ramai orang awam menjadi mangsa konflik di Gaza yang kini berlarutan terlalu lama.
Baca: Laporan Undang-undang Terhadap Israel Akan Dibentangkan Di Kesatuan Eropah Bulan Ini