Setakat 31 Ogos 2025, sebanyak 13,403 pekerja dan 1,167 majikan telah menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) yang dilancarkan pada Januari 2025 dan pihak PERKESO menggesa lebih banyak syarikat untuk menyertai inisiatif ini bagi menangani isu-isu pasaran buruh yang kritikal, seperti kenaikan gaji yang perlahan berbanding produktiviti dan ketidakpadanan kemahiran dengan gaji.
Menurut statistik PERKESO setakat 31 Ogos 2025, sebanyak 13,403 pekerja dan 1,167 majikan telah menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) ini.
Dasar ini menawarkan penyelesaian menyeluruh dengan memberikan insentif kewangan daripada kerajaan kepada majikan yang mengambil bahagian. Setakat ini, lebih dari RM35 juta telah disuntik sebagai sokongan kepada majikan yang terlibat.
Untuk pengetahuan, penyertaan dalam DGP adalah secara sukarela dan majikan layak menerima insentif kewangan sehingga tahun 2027.
Selain itu, manfaat lain untuk majikan termasuklah:
- Pengurangan kos operasi
- Pengekalan pekerja sedia ada dan penarikan bakat baharu
- Peningkatan motivasi pekerja
- Pengukuhan imej syarikat sebagai majikan yang progresif
DGP juga memberi manfaat kepada pekerja, yang akan menerima ganjaran yang lebih adil dan menyumbang kepada pasaran buruh yang lebih progresif dan inklusif.
Contoh Syarikat yang Telah Menyertai
Beberapa syarikat yang telah mengambil bahagian dalam inisiatif ini termasuk Rocket Integration Technology Sdn. Bhd., Rovski Industries Sdn. Bhd., Sri Lara Joint Security Services Sdn. Bhd., Tripfez Travel & Tours Sdn. Bhd., dan Mitrajaya Holdings Berhad. Penyertaan mereka membuktikan keberkesanan dasar ini dan diharapkan akan mendorong lebih banyak majikan lain untuk turut serta.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari laman web rasmi DGP
Artikel berkaitan : PERKESO Perkukuh Jaringan Keselamatan Sosial Melalui Penjenamaan Baharu ‘Lindung’
Artikel berkaitan : PERKESO – MYFutureJobs Buka Mata Pengunjung Karnival Hari Pekerja 2025
Mengenai LINDUNG
LINDUNG adalah penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial PERKESO yang dilancarkan pada 22 Ogos 2025. Penjenamaan ini bertujuan untuk memperluaskan capaian, meningkatkan kesedaran, dan memperkukuh kepercayaan orang ramai terhadap PERKESO sebagai pelindung utama keselamatan sosial.
Di bawah jenama LINDUNG, skim-skim perlindungan sosial berikut kini dikenali sebagai:
- LINDUNG Pekerja (Akta 4)
- LINDUNG Kerjaya (Akta 800)
- LINDUNG Kendiri (Akta 789/SKSPS)
- LINDUNG Kasih (Akta 838/SKSSR)
Anda boleh dapatkan maklumat lanjut di www.perkeso.gov.my.