Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, Yusof Ali meluahkan rasa kesal terhadap insiden terbaharu sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya karam di perairan Langkawi pada Sabtu lalu ketika cuba diseludup masuk ke negara ini.
Menurut Yusof, walaupun pihaknya tidak menerima maklumat awal mengenai kemasukan tersebut, beliau percaya ia didalangi sindiket pemerdagangan yang mempunyai rangkaian dalam kalangan warga asing di Malaysia dan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira keselamatan mangsa.
Artikel berkaitan: Jika Dibenarkan Oleh Kerajaan, Restoran Mamak Sedia Ambil Etnik Rohingya Bekerja – PRESMA
Artikel berkaitan: 260 Pelarian Rohingya ‘Mendarat‘ Di Aceh, Mengadu Tak Diterima Dari Malaysia
“Kami sudah pesan banyak kali jangan masuk (Malaysia) tapi mereka degil sengaja tempah maut di laut, ” katanya.
Beliau berkata sindiket terbabit langsung tidak memikirkan risiko nyawa kerana mereka hanya mahu mengaut keuntungan cepat.
“Mereka (sindiket) bukan peduli pun, bot kecil ka…besar ka. Mereka sumbat sahaja kerana yang penting mereka dapat duit.
Kalau seorang kena bayar RM10,000 kalau dua sekeluarga sudah dapat RM20,000. Kanak-kanak pun mereka ambil RM5,000 kecuali bayi. Mereka tidak peduli PATI ini hidup atau mati. Pelarian ini sudah jadi lombong emas sindiket,” katanya.
Yusof menambah, pihaknya sudah berkali-kali menasihati komuniti Rohingya di Malaysia supaya memberi peringatan kepada saudara-mara di Myanmar dan Bangladesh agar tidak cuba masuk secara haram.
Beliau turut mengakui ada warga Rohingya di Malaysia yang sanggup mengirim sejumlah wang besar untuk membawa ahli keluarga mereka datang ke sini, walaupun mereka sebenarnya sudah berada di kem pelarian Bangladesh yang dijaga oleh UNHCR.
“Kebanyakan daripada mereka dari Kem Pelarian di Bangladesh yang sudah dijaga dengan baik oleh UNHCR. Sudah ada tempat tinggal dan makan minum tetapi mahu tempah maut juga. Ini bukan salah Malaysia atau Thailand, ini salah mereka sendiri,” katanya.
Yusof menjelaskan sindiket biasanya menggunakan kapal besar yang membawa 300 hingga 400 orang dari Bangladesh sebelum dipindahkan ke bot kecil seperti bot nelayan ketika tiba di sempadan.
“Dari Bangladesh, sindiket guna kapal besar yang muat 300 hingga 400 orang dan tiba di sempadan tekong di sini sudah menanti untuk membawa mereka naik bot kecil seperti bot nelayan. Keadaan sangat bahaya kalau terlebih muatan, kami sudah 1,000 pesan, mereka degil,” katanya lagi.
Dalam pada itu, hasil bedah siasat ke atas mayat seorang wanita etnik Rohingya yang ditemui di perairan Langkawi selepas kemalangan itu menunjukkan beliau dipercayai telah hanyut selama lebih dua hari, menurut kenyataan pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kedah dan Perlis dalam sidang akhbar di jeti APMM tempoh hari.

1 week ago
29






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















