Pemain tengah kelab divisyen dua Argentina, Camilo Nuin, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani pembedahan lutut pagi tadi, dalam satu insiden mengejutkan yang masih belum diketahui punca sebenar kematiannya.
Perkara itu disahkan kelab San Telmo menerusi satu kenyataan ringkas penuh emosi.
Memetik laporan Astro Awani, Nuin telah membuat 82 penampilan bersama pasukan simpanan San Telmo sejak menyertai kelab itu pada 2022. Sebelum itu, beliau merupakan pemain remaja yang pernah menjalani latihan di akademi Boca Juniors dan Independiente.
Nuin menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan ligamen dan meniskus, satu kecederaan biasa dalam sukan bola sepak yang biasanya memerlukan sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk pulih.
Namun, tiada siapa menyangka prosedur perubatan rutin itu akan meragut nyawa.
Punca sebenar kematian Nuin masih belum dipastikan dan bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti sebab-sebabnya.
Kematian tragik pemain muda itu telah mengejutkan komuniti bola sepak tempatan, dan mencetuskan persoalan mengenai protokol keselamatan dalam prosedur perubatan atlet profesional.
Baca: Pengurus MU Dakwa Jet Lag Punca Pemain ‘Struggle’ Dalam Perlawanan