Hari pertama Ramadan terasa suram dan hiba buat keluarga ini apabila seorang ahli mereka yang juga pelajar orang kurang upaya (OKU) kategori lembam ditemui maut di Sungai Siam, Felda Kota Gelanggi Tiga, Jerantut.
Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Amir Mursyid Shamli, 16, yang merupakan anak yatim piatu dijumpai terapung di sungai sekitar jam 11.55 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar itu dipercayai lemas ketika mandi sungai bersama dua rakannya, pada Jumaat lalu.
Artikel berkaitan: Budak 6 Tahun M*ti Lemas, Tangan Tersangkut Lubang Saliran Kolam Renang
Artikel berkaitan: Seram! Tular Video 2 Remaja Perempuan Tenggelam Ketika Mandi Air Terjun Di Sulawesi Selatan
Menurut Zukri, bapa saudara mangsa memaklumkan telah mengambil pelajar itu di asrama sekolah untuk pulang ke rumah di Felda Kota Gelanggi Satu.
“Setelah tiba di rumah, mangsa didakwa keluar semula untuk pergi menunaikan solat Jumaat di masjid kawasan Felda itu.
“Selepas itu, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah. Namun, ahli keluarganya mendakwa tidak menyedari mangsa tiada di rumah,” katanya.
Rakan dakwa mangsa lemas, tak berani bantu
Katanya lagi, saksi dan dua rakan mangsa mendakwa bahawa pelajar itu lemas ketika mandi di sungai berkenaan, namun mereka tidak berani membantu kerana takut turut lemas.
“Saksi dan dua rakan itu didakwa terus pergi dari tempat kejadian serta tidak melaporkannya kepada sesiapa hinggalah mayat mangsa ditemui pada pagi tadi,” katanya.
Justeru, semua saksi kejadian itu telah dipanggil ke Balai Polis Jerantut bagi rakaman percakapan dan siasatan masih diteruskan.
Sementara itu, bapa saudara mangsa menyangka mangsa tidak berada di kediaman kerana pergi ke rumah saudara yang lain di sekitar kawasan berkenaan.
Dia mengetahui penemuan mayat mangsa daripada penduduk di situ yang kebetulan melalui jalan di kawasan tersebut.
Sumber: Berita Harian