Collage 2 1

Perancangan pembangunan fizikal negara terus diperkukuh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-50 baru-baru ini. 

Dalam mesyuarat tersebut, sebanyak 10 kertas kerja telah dipertimbangkan yang merangkumi kertas kelulusan, persetujuan serta makluman berkaitan hala tuju pembangunan negara.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk Draf Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Draf Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) yang dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

20260409 Afs 6861

Kedua-dua dokumen ini dilihat sebagai asas penting dalam menentukan arah pembangunan spatial negara yang lebih seimbang dan mampan.

Bagaimanapun, sebelum dimuktamadkan, penelitian lanjut akan dibuat bersama kerajaan negeri termasuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memastikan penyelarasan yang lebih menyeluruh. Langkah ini selari dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan kerjasama antara persekutuan dan negeri.

Dalam masa sama, mesyuarat turut mengambil maklum beberapa cadangan projek infrastruktur berskala besar oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

Antaranya termasuk jajaran baharu Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi Hubungan Selatan dari Banting ke Gelang Patah sepanjang 303.5 kilometer, serta cadangan pembinaan jalan baharu dari Simpang Pelangai ke Putrajaya sejauh 118.7 kilometer.

Artikel berkaitan: Satu-Satunya Wakil ASEAN, Malaysia Ukir Sejarah di Intertraffic Amsterdam 2026

Artikel berkaitan: Tol Tanpa Palang: 3 Akta Akan Dipinda Demi Kelancaran MLFF

Kedua-dua projek ini dirancang sebagai laluan alternatif berkapasiti tinggi bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan (E2) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8).

Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih efisien, cadangan projek ini akan diteroka melalui model penswastaan. Rundingan lanjut bersama kerajaan negeri terlibat juga akan dijalankan bagi memperincikan kaedah pelaksanaan serta memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai oleh penduduk setempat.

20260409 Afs 6905

Secara keseluruhan, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan perancangan fizikal negara kekal relevan, inklusif dan berdaya tahan.

Gabungan perancangan dasar seperti RFN5 dan DPN3 bersama pembangunan infrastruktur strategik dilihat mampu meletakkan Malaysia di landasan yang lebih kukuh ke arah keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Sumber: KPKT

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.