Pengawai penyiasat kanan memberitahu Mahkamah Sesyen, objek asing yang ditemukan dalam rongga tekak pernafasan (bronkus) dan perut pada mayat Zayn Rayyan Abdul Matin adalah tumbuhan daun jenis pulai.
Menurut saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, dapatan itu hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat kanak-kanak autistik itu selain keputusan analisis oleh ahli kimia terhadap objek yang ditemukan pada kedua-dua abdomen.
“Saya terima laporan awal daripada ahli kimia mengesahkan hasil laporan awal ke atas objek asing yang terdapat dalam bronkus Zayn Rayyan yang dihantar untuk analisa adalah sejenis tumbuhan daun pulai.
“Berdasarkan maklumat ini, saya jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai anggaran 10 meter dari tempat mayat Zayn Rayyan ditemui,” katanya.
Artikel berkaitan: Mahkamah Tayang 10 Rakaman CCTV, Dipercayai Kelibat Zayn Rayyan Dalam Longkang
Artikel berkaitan: “Bukan kematian biasa, ia dikategorikan ‘mencurigakan’” – Doktor Pakar Bedah Siasat Kes Zayn Rayyan
Mohd Hafizee juga memberitahu dia menerima laporan daripada doktor forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan yang mengatakan terdapat kesan kecederaan berunsurkan jenayah terhadap mayat Zayn Rayyan pada 7 Disember 2023.
“Semasa saya tiba dalam bilik bedah siasat, proses sedang dijalankan dan Dr Rohayu Shahar Adnan (perubatan perunding forensik) menunjukkan kepada saya keadaan telinga kiri Zayn Rayyan dalam keadaan seperti terkulai, lengan kanan terdapat kesan toreh dan dubur terdapat kesan tusukan objek,” katanya.
Sebelum ini, Dr Rohayu selaku saksi pendakwaan ke-27 mendedahkan hasil bedah siasat juga menunjukkan lelangit arwah Zayn Rayyan turut lebam menunjukkan benda asing dimasuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut.
Nampak kesan lumpur sebelah peti ais rumah mangsa
Mohd Hafizee juga berkata, dia bersama pasukannya menjalankan siasatan di dalam rumah mangsa di tingkat dua Apartmen Idaman pada 10.30 malam, 7 Disember 2023.
“Semasa masuk ke dalam rumah, saya terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur. Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut itu untuk siasatan saya,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan pada 31 Mei 2024, kedua-dua tertuduh (Zaim Ikhwan dan Ismanira) ditangkap untuk siasatan berhubung kes yang kemudian pada 10 Jun 2024.
Tiada DNA asing dalam dubur Zayn Rayyan
Mahkamah Sesyen juga diberitahu bahawa tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing yang ditemui dalam dubur mangsa.
Jelas Mohd Hafizee, hasil analisa terhadap spesimen calitan dari dubur (Zayn Rayyan), tiada DNA asing yang dijumpai dan hanya DNA milik Zayn Rayyan sahaja.
Sumber: Berita Harian, Harian Metro