Berita mengenai rumah tangga pelakon senior, Edika Yusof dan Nor Hidayah di ambang perpisahan mengejutkan ramai peminat apabila isterinya memfailkan perceraian pada pertengahan Februari lalu setelah 22 tahun usia perkahwinan mereka.
Terbaharu, Edika menyatakan dia reda apabila perlu menerima hakikat bahawa rumah tangganya kini sudah goyah.
Edika berkata, alasan untuk ‘membebaskannya’ itu sebenarnya sudah terlambat memandangkan dia sudah 19 tahun menjaga isterinya yang lumpuh tanpa merungut.
Artikel berkaitan: Isteri Edika Yusof Failkan Perceraian, Dakwa Dah Tak Sebumbung
Artikel berkaitan: “Cinta lelaki teragung” – Ini 5 Kisah Pengorbanan Luar Biasa Suami Untuk Isteri Tercinta
“Saya dah kahwin lebih 22 tahun. Saya jaga dia hampir 19 tahun ketika sakit. Jadi, apabila pada waktu ini baru nak offer untuk lepaskan saya, saya rasa dah terlambat.
“Dia cakap nak bebaskan saya, supaya saya boleh hidup baharu. Baiklah, terima kasih. Anggap sahaja ini hadiah hari lahir saya esok. Tapi kalau itu niat dia, patut dari dulu beritahu. Saya pun tak pernah minta dilepaskan,” katanya.
Edika juga memaklumkan dia sendiri tidak faham mengapa perkara sebesar itu tidak dibincangkan terlebih dahulu memandangkan sepanjang perkahwinan mereka dia sudah terbiasa menanggung beban rumah tangga dan tidak pernah mengeluh.
Jelas pelakon filam Maria Mariana itu, dia sudah cuba mengajak untuk berbincang namun tidak diendahkan.
“Saya tak pernah sorok apa-apa. Telefon saya, akaun bank saya, semuanya dia boleh tengok. Saya jenis yang gentle, tak ada apa nak disembunyikan. Tapi nampaknya dia memang serius nak berpisah,” ujarnya.
Luah anak-anak tak tunjuk usaha
Dalam pada itu, Edika juga menyatakan anak-anaknya menerima perkara tersebut dengan baik namun kecewa apabila tiada yang berusaha untuk merapatkan kembali hubungannya dengan isteri.
“Anak perempuan saya bersama saya, dua lagi dengan isteri. Tapi saya tengok mereka pun tidak menunjukkan usaha nak merapatkan hubungan. Masing-masing fikir hal sendiri.
“Saya tunggu juga kalau mereka nak buat sesuatu untuk satukan semula, tapi tak nampak pun. Mungkin generasi sekarang begitulah. Saya pun sekarang seorang diri,” katanya.
Edika turut mendedahkan dia pernah diserang kemurungan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan pada tahun 2022.
“Saya jaga isteri saya bertahun-tahun. Tapi orang hanya nampak dia yang sakit. Orang tak nampak apa yang saya tanggung. Saya pernah kena anxiety. Saya jumpa kaunselor. Saya tak ada tempat nak luah. Mak ayah saya pun dah tiada.
“Saya pendam sendiri. Kadang-kadang saya terlalu push dia untuk jadi berdikari sebab saya risau kalau saya tiada nanti, siapa nak jaga dia? Tapi mungkin dia tak boleh terima cara saya. Saya pun tak tahu apa sebenarnya yang dia mahu,” luahnya.
Jauh di sudut hati, Edika masih menaruh harapan agar mereka dapat berbaik dan menyelesaikan perkara itu secara damai.
Difahamkan, mahkamah menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Edika gagal menghadirkan diri dalam prosiding pertama.
Sumber: Kosmo!