Gagal mengelak lori yang berhenti di lorong kecemasan, seorang jururawat maut selepas motosikal yang ditunggangnya itu merempuh belakang lori tersebut sebelum tercampak dan digilis 2 kenderaan lain di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), Sepang, semalam.
Mangsa, Nurul Ilham Nordin, 29, yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Artikel berkaitan : Dikejar Suami Selepas Bertengkar, Wanita Maut Kemalangan Lepas Rempuh Tembok Batu
Artikel berkaitan : Isteri Tunggu Mesej Sampai Terlelap, Rupanya Suami Terlibat Kemalangan Maut Kena Tayar ‘Terbang’
Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan, berkata, nahas tersebut berlaku kira-kira jam 1 tengah hari yang membabitkan 4 kenderaan di Kilometer (KM) 28.2 Lebuh Raya SILK.
Jelasnya, mangsa pada ketika itu sedang menunggang motor dari arah Cheras ke Cyberjaya menghala ke tempat kerja. Setiba di lokasi, beliau mengatakan bahawa mangsa didapati terlanggar belakang lori 3 tan yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke sebelah kanan jalan sebelum digilis dua kenderaan jenis Perodua Bezza dan Perodua Alza.”
Tambahnya, orang awam yang ada sebarang maklumat tentang kejadian itu diminta menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang atau menghubungi Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin melalui talian 019-6488474.
Sumber : Berita Harian