Info Peluang Kerja Tak Sampai Pada Anak Muda? UNI-MLC Dakwa Jawatan Kosong ‘Tersembunyi’ Punca Belia Menganggur

10 hours ago 6

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memberi peringatan bahawa kewujudan ‘jawatan kosong tersembunyi’ boleh memburukkan lagi kadar pengangguran belia di negara ini.

Malah, tindakan sesetengah pihak menyembunyikan maklumat kekosongan jawatan turut menimbulkan kesukaran kepada graduan untuk memperoleh pekerjaan.

Menurut Presiden UNI-MLC, Shafie BP Mammal, isu sebenar bukanlah kekurangan bakat, sebaliknya penyebaran maklumat yang tidak telus sehingga menyekat peluang kepada pencari kerja.

Beliau berkata, terlalu banyak iklan pekerjaan disebarkan melalui portal persendirian, kumpulan WhatsApp dan rangkaian tertutup sekali gus menimbulkan ketidakadilan kerana informasi itu tidak sampai kepada semua pihak.

“Anak-anak muda memohon pekerjaan di pelbagai tempat, namun masih gagal mendapat kerja tetap. Mereka tidak pasti sama ada peluang sudah terlepas hanya kerana maklumat tidak disusun dengan baik,” katanya.

jawatan kosongBukan kekurangan bakat, tapi maklumat kerja tak telus sekat peluang belia.

Artikel berkaitan: Gaji Cecah RM13,000! PERKESO Tawar 10,000 Jawatan Kosong Berkemahiran Tinggi di Karnival LINDUNG Kerjaya@Program Rancakkan MADANI

Artikel berkaitan: PDRM Minta Orang Ramai Waspada Taktik Scam Guna Iklan ‘Jawatan Kosong’

Statistik terkini menunjukkan kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun berada sekitar 9.9% melibatkan lebih 290,000 individu manakala belia berusia 15 hingga 30 tahun mencatat kadar 6.2%.

Bagi mengatasi isu tersebut, kerajaan mencadangkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dengan memasukkan Seksyen 45F, yang mewajibkan majikan mengiklankan semua kekosongan jawatan di portal MYFutureJobs.

Shafie berkata, langkah itu dapat mewujudkan satu pusat rujukan nasional bagi membolehkan graduan meneliti kesemua iklan pekerjaan melalui platform khusus itu.

“Majikan masih boleh menggunakan platform lain seperti JobStreet atau LinkedIn, namun MYFutureJobs akan menjadi rujukan minimum supaya orang ramai tahu bahawa semua peluang kerja mesti dipaparkan di situ,” katanya.

Menurutnya, ketelusan maklumat adalah penting bagi melindungi hak dan masa depan pekerja muda.

Beliau menambah, pembaharuan itu sejajar dengan piawaian antarabangsa, termasuk pengiktirafan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bahawa ketelusan dalam maklumat kekosongan jawatan merupakan sebahagian daripada perlindungan asas pekerja.

“Sistem buruh moden mesti bersifat aktif, adil dan terbuka,” katanya.

Shafie turut menyatakan kesediaan pihaknya bekerjasama dengan kerajaan dan majikan bagi memastikan pelaksanaan pindaan itu berjalan lancar dan berkesan.

Beliau menegaskan pindaan tersebut bukan bertujuan membebankan majikan, sebaliknya memastikan rakyat Malaysia tidak tercicir daripada peluang pekerjaan hanya kerana maklumat disorokkan.

“Kami menggesa kerajaan kekal tegas dan meneruskan inisiatif ini. Manfaat jangka panjang kepada pekerja amat jelas dan tidak memerlukan moratorium.

“Sistem buruh moden bermakna peluang pekerjaan perlu telus dan adil, bukannya tersembunyi atau terhad kepada golongan tertentu,” katanya.

Sumber: FMT

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |