Polis sedang menyiasat insiden yang melibatkan seorang kerabat diraja Pahang yang didakwa menikam seorang lelaki di sebuah kelab malam di Kuantan pada awal Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu mengesahkan pihaknya menerima laporan dan sudah melakukan satu tangkapan bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada individu yang ditahan itu adalah kerabat diraja seperti yang didakwa.
Memetik laporan Malaysiakini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Menurut laporan polis yang tular di media sosial, kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi pada 8 Mei lalu. Mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun, mendakwa dia telah dipanggil ke kelab malam bersama adik dan sepupunya selepas satu insiden terdahulu di mana dia dikatakan melanggar kerabat diraja itu di sebuah pusat hiburan lain.
Di kelab malam itu, seorang lelaki dipercayai pembantu kerabat telah meminta penjelasan dan menawarkan dua “jalan penyelesaian” — belanja minuman atau beri “angpau”. Mangsa menyerahkan wang tunai RM1,200 namun tetap diminta untuk memohon maaf secara langsung.
Mangsa kemudian dibawa ke bilik karaoke untuk bersemuka dengan kerabat tersebut. Dalam bilik itu, dia mendakwa telah dipukul dengan jug kaca dan ditikam dengan pisau lipat di bahagian punggung oleh kerabat berkenaan, sebelum dihalang oleh pengawal dan kakitangan kelab. Mangsa mengalami pendarahan teruk dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.
Bukan Kes Pertama
Tahun lalu, seorang lagi kerabat diraja Pahang dikaitkan dengan kes serangan terhadap seorang pekerja jalan raya, Alias Awang, yang mendakwa ditikam dan ditembak oleh sekumpulan lelaki termasuk “anak kepada anak Tengku”.
Kes tersebut mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang ketika itu menegaskan bahawa “tiada sesiapa pun, termasuk kerabat diraja, berada di atas undang-undang.”
Sekitar dua bulan selepas kejadian itu, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, anak saudara kepada Sultan Pahang, bersama empat lagi individu telah didakwa di mahkamah atas kesalahan mencederakan mangsa dengan pisau.
Baca: Tengku Mahkota Pahang Titah Keadilan Diberi Kepada Mangsa Pukul Oleh Kerabat