Aktivis dan pelukis, Fahmi Reza telah menghantar surat tuntutan kepada pihak berkuasa selepas dihalang ke luar negara pada 7 Jun lalu meskipun tiada sekatan perjalanan rasmi dikenakan terhadapnya.
Surat bertarikh 13 Jun itu, yang dikongsi Fahmi di media sosial, dialamatkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh, dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut peguamnya, Yohendra Nadarajan, Fahmi ditahan di Terminal 2 KLIA ketika ingin menaiki penerbangan ke Singapura dan diminta merujuk kepada Bukit Aman mengenai sekatan yang tidak didedahkan secara rasmi.
Walaupun Ketua Polis Negara menjelaskan tiada larangan perjalanan dikenakan, nama Fahmi telah dimasukkan dalam “senarai pemantauan pergerakan dalaman untuk tujuan siasatan”, satu tindakan yang menurut peguamnya tiada asas undang-undang.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Yohendra turut mendedahkan bahawa semakan di laman web Jabatan Imigresen menunjukkan maklumat bercanggah – versi Bahasa Melayu menyatakan beliau disekat, manakala versi Bahasa Inggeris menunjukkan sebaliknya. Jabatan itu kemudian mengakui wujud kekeliruan teknikal dan menyatakan semakan sedang dijalankan.
Peguam itu juga berkata, anak guamnya menuntut nama dikeluarkan dari semua senarai pemantauan, sebarang sekatan ditarik balik, serta pampasan sewajarnya diberikan.
Baca: Aktivis & Pelukis Fahmi Reza Kecewa Tidak Dibenarkan Keluar Negara