Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menjalankan satu operasi besar-besaran melibatkan seorang individu bergelar Tan Sri yang disyaki terlibat dalam penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang. Dalam operasi yang dijalankan di kediaman lelaki berkenaan di Bandar Tasik Selatan, Cheras, SPRM turut menggunakan bantuan anggota pasukan taktikal Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) bagi tujuan keselamatan dan kawalan sepanjang proses penggeledahan berlangsung.
Menurut SPRM, kehadiran pasukan taktikal khas itu adalah berdasarkan maklumat risikan yang menunjukkan terdapat sebuah bilik rahsia di kediaman Tan Sri berkenaan, yang disyaki menyimpan pelbagai barangan mewah termasuk senjata api. Bilik rahsia itu kemudiannya ditemukan dan didapati menyimpan sejumlah senjata serta peluru hidup. Bagaimanapun, SPRM tidak menyita senjata tersebut kerana ia didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik Tan Sri terbabit.
Memetik lapron Malaysia Gazette, selain senjata, SPRM turut menyita pelbagai barangan mewah lain yang nilainya dianggarkan mencecah RM16 juta. Antara rampasan termasuk 84 beg tangan mewah bernilai kira-kira RM3 juta, 11 jam tangan berjenama bernilai RM1 juta, jongkong emas, syiling dan patung emas bernilai RM3 juta, serta berlian dan barangan kemas bernilai sekitar RM4 juta. Sebuah set alatan kasino berjenama mewah turut dirampas, yang anggaran nilainya sekitar RM150,000. Kesemua barang yang disita dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan jumlah keseluruhan sitaan semalam mencecah kira-kira RM16 juta dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan susulan dalam masa terdekat. Beliau turut memaklumkan bahawa proses untuk merakam keterangan Tan Sri berkenaan akan ditangguhkan ke satu tarikh lain atas faktor kesihatan.
Kes ini bukan sahaja menarik perhatian umum kerana melibatkan tokoh ternama, tetapi juga kerana mendedahkan skala kekayaan luar biasa yang dikaitkan dengan dana awam. SPRM dijangka meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.