“Beliau tidak bermaksud rendahkan kakitangan” – Kesatuan Pekerja Pertahan CEO Pos Malaysia

4 hours ago 3

Kesatuan-Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia tampil mempertahankan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berhubung kontroversi pakaian seragam syarikat itu, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Facebook Pos Malaysia, kesatuan itu berkata kenyataan Brewer dalam isu tersebut tidak bermaksud untuk merendahkan atau memperlekehkan mana-mana kakitangan Pos Malaysia.

Jelasnya, pihak mereka telah mendapatkan penjelasan daripada CEO Pos Malaysia sehari selepas isu tersebut tular.

Artikel berkaitan: Tular Isu Pakaian Seragam Kakitangan Rosak, CEO Pos Malaysia, Charles Brewer Mohon Maaf

“Kesatuan memahami bahawa bukan maksud beliau untuk memperlekehkan kakitangan tersebut, cuma terdapat salah faham dan beliau sendiri telah mengakui kesilapan tersebut.

“Kesatuan menyeru agar isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan salah faham terhadap niat sebenar beliau,” katanya.

Menurut pihak kesatuan lagi, sepanjang tempoh perkhidmatan Brewer, beliau telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendekati kakitangan di pelbagai peringkat, termasuk turun padang bagi memahami serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi.

Sehubungan itu, pihak kesatuan menyatakan bahawa mereka berdiri teguh menyokong kepimpinan Brewer.

WhatsApp Image 2025 04 19 at 21.40.44

Ulas isu pakaian seragam

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pakaian seragam yang menyebabkan kontroversi tersebut, Kesatuan berkata, semua kakitangan Pos Malaysia telah dimaklumkan bahawa pakaian seragam baharu akan dibekalkan.

Bagaimanapun, katanya, berlaku kelewatan tahun ini disebabkan proses penambahbaikan daripada segi material dan kualiti yang digunakan supaya lebih sesuai dan selesa untuk dipakai oleh kakitangan.

492078685 1091289116358773 4670118216013070160 n

Sebagai penyelesaian sementara, pihak Pengurusan Operasi akan mengedarkan jersi Pos Malaysia kepada anggota-anggota Kesatuan yang terlibat, dan proses pengedaran tersebut akan dilaksanakan secara bersama di antara pihak kesatuan dan pengurusan.

Terdahulu, Brewer menyampaikan permohonan maaf kepada kakitangan syarikat yang terkesan serta kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataannya berhubung isu pakaian seragam rosak.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |