6dolfin

Enam kes penemuan bangkai mamalia marin, melibatkan spesies ikan paus dan lumba-lumba, direkodkan di perairan Malaysia sepanjang tahun ini. Berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), kes pertama membabitkan bangkai paus spesies Bryde ditemukan di Pantai Sungai Miang, Pekan pada 24 Februari, diikuti penemuan lumba-lumba Irrawaddy di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada 11 April.

Screenshot 2025 12 07 at 10.09.27 AMIkan paus spesies Bryde direkodkan pada 24 Februari di Pantai Sungai Miang, Pahang.

Kes seterusnya melibatkan lumba-lumba Irrawaddy yang dipercayai terjerat pukat di perairan Kuala Kedah pada 21 Jun. Pada 18 Julai pula, seekor lumba-lumba spesies Porpoise Ambu dijumpai terdampar di Tanjung Tokong, Pulau Pinang. Dua lagi kes pada 15 dan 26 November melibatkan bangkai paus Bryde di Langkawi serta lumba-lumba Bottlenose di pantai Sabak Bernam, Selangor.

DOF memaklumkan bahawa pengurusan mamalia marin terdampar masih berdepan cabaran, terutama berkaitan kelewatan laporan dan koordinasi tepat di lokasi kejadian. Beberapa kawasan kedamparan turut melibatkan laluan sukar seperti kawasan berlumpur, estuari dan pantai terpencil, sekali gus menyukarkan proses pemindahan serta menjalankan pemeriksaan lanjut mengikut prosedur.

Screenshot 2025 12 07 at 10.09.13 AMIkan lumba-lumba yang ditemui mati di pantai Sabak Bernam November lalu.

Bagi mengurangkan risiko dan meningkatkan kecekapan tindak balas, usaha kesedaran masyarakat diperkukuhkan melalui program pendidikan, bengkel kedamparan serta kerjasama dengan kerajaan negeri dan rakan strategik. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada kepentingan pelaporan segera, kaedah intervensi yang selamat dan peranan komuniti dalam usaha konservasi.

Selain itu, program konservasi bersama nelayan setempat turut dijalankan bagi meningkatkan kefahaman terhadap penggunaan peralatan lebih mesra hidupan marin. Pelajar sekolah dan universiti juga dilibatkan melalui aktiviti pembelajaran lautan, pameran dan demonstrasi. DOF menyatakan penyebaran maklumat dipertingkatkan melalui media sosial dan kerjasama NGO, memandangkan terdapat 49 penemuan mamalia marin hidup sepanjang tahun ini di beberapa lokasi hotspot di Semenanjung Malaysia.

Sumber: Astro Awani, Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.