Seorang bapa sekali lagi menanggung ujian berat apabila anak bongsunya meninggal dunia pada Khamis di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas sebulan bertarung nyawa akibat kemalangan.
Terdahulu, Tun Mohd Khairul Tun Arifin kehilangan isteri tercinta dan anak sulungnya yang juga terlibat dalam kemalangan itu.
Artikel berkaitan: Terkejut Dengan Kematian Ibu, Anak ‘Menyusul’ 2 Jam Kemudian
Artikel berkaitan: Kereta Terbabas Langgar Pagar Rumah, Ibu & Anak Dalam Kandungan Berusia 35 Minggu Meninggal
“Hari ini genap sebulan kemalangan tersebut berlaku dan anak saya pergi (meninggal dunia) menyusul ibu dan kakaknya. Anak saya berada dalam keadaan koma sepanjang menerima rawatan di hospital.
“Namun ada satu kejadian dia pernah membuka mata dan dilihat mengalirkan air mata. Memang ketika itu saya berharap dan sentiasa berdoa supaya anak bongsu saya ini kembali sembuh tetapi Allah lebih menyayanginya dan akhirnya dia pergi pada bulan mulia ini.
“Sebagai seorang bapa, memang sangat sedih tetapi saya reda atas ujian yang berlaku. Saya sentiasa doakan kesejahteraan arwah isteri dan anak-anak di alam sana dan dikurniakan syurga tanpa hisab,” katanya.
Hasrat duduk di rumah baharu tidak kesampaian
Tun Mohd Khairul juga meluahkan rasa sedih kerana tidak sempat mendiami rumah baharu bersama isteri dan anak-anak sempena Aidilfitri tahun ini.
“Sedih sebab nak duduk di rumah baharu bersama isteri dan anak-anak tidak kesampaian. Kehilangan besar terutama semasa sambut perayaan Aidilfitri tanpa isteri dan anak-anak tercinta.
“Apa-apa pun sebagai manusia saya reda dan menerima ketentuan takdir Allah SWT. Saya sentiasa berdoa agar diri ini diberikan kekuatan untuk menempuhi ujian tersebut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan dua beranak maut manakala seorang lagi parah apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima pelajar politeknik dalam kejadian di Kilometer 13 Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, Kuala Berang, Terengganu, pada 13 Februari lalu.
Nursaidatul Aishah bersama anak sulungnya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd Khairul, 12, maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Tun Nur Ufaira Afifa, 9, parah.
Sumber: Sinar Harian