syaz ft 2025 11 18T124358.962

Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan musim 2025 lebih awal selepas tidak beraksi sejak penampilan terakhirnya di kejohanan China Masters pada September lalu.

Menurut kenyataan rasmi yang dikongsikan di Instagram, Zii Jia berkata beliau dan pasukannya sedang bekerja rapat dengan pakar perubatan bagi menentukan langkah terbaik untuk memastikan beliau kembali beraksi pada prestasi optimum.

Artikel berkaitan: Kembali Beraksi Di Kejohanan Dunia, Lee Zii Jia Nekad Tak Mahu Cedera

Artikel berkaitan: “Mungkin Zii Jia hanya tunjuk minat terhadap seni” –  MSN Minta Orang Ramai Jangan Panik, Elak Buat Andaian Tanpa Fakta

“Sejak perlawanan kompetitif terakhir di China Masters, saya dan pasukan telah bekerja rapat dengan pakar perubatan untuk menentukan langkah terbaik ke hadapan bagi memastikan saya dapat kembali bertanding pada kemampuan terbaik,” tulisnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan menutup tirai musim 2025 dibuat selepas mengambil kira segala maklum balas dan mengambil berat keadaan tubuh badannya sendiri.

“Selepas menimbang semua maklum balas dan yang paling penting ‘mendengar’ tubuh saya, saya rasa lebih baik untuk menutup bab 2025 dan memberi tumpuan pada kalendar 2026,” ujarnya.

Zii Jia mengakui tahun ini penuh cabaran dari segi fizikal dan emosi. Namun, di sebalik kesukaran itu, beliau berkata terdapat banyak proses penemuan diri yang berlaku termasuk minat baharunya terhadap seni.

“Untuk mengatakan ia tahun yang penuh rollercoaster secara fizikal dan emosi adalah satu kenyataan yang meremehkan. Tetapi tahun ini juga membawa banyak penemuan tentang diri saya; siapa sangka seni merupakan sesuatu yang saya gemari,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan, pasukan, para penaja serta peminat yang terus berada di belakangnya sejak hari pertama.

Walaupun terpaksa menamatkan musim lebih awal, pemain perseorangan negara itu menegaskan motivasinya tetap tinggi untuk kembali beraksi.

Zii Jia menutup kenyataan itu dengan ucapan terima kasih dan keyakinan untuk kembali lebih kuat pada musim hadapan.

Sumber: Instagram

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.