Dalam dunia ni sebenarnya ada bermacam-macam jenis personaliti yang berbeza. Cara setiap individu berinteraksi, berfikir dan ‘recharge’ semula tenaga pun tak sama.
Dalam dunia yang sentiasa riuh tanpa henti, tanggal 2 Januari menjadi kesempatan untuk meraikan mereka yang lebih cenderung ke arah kehidupan yang tenang, perlahan dan reflektif berbanding orang lain.
Sifat introvert juga bukanlah bermakna ianya satu kekurangan yang wajar dipandang remeh, ia hanyalah sejenis personaliti yang mencerminkan cara seseorang itu menjalani hidup dengan caranya sendiri.
Tapi, macam mana Hari Introvert Sedunia boleh tercetus?
Sejarah Hari Introvert Sedunia

Sambutan Hari Introvert Sedunia bermula dengan seorang pakai psikologi bernama Felicitas Heyne yang juga merupakan seorang penulis dari Jerman melaluinya penulisan di blognya.
Heyne berpendapat yang introvert selalu berdepan dengan diskriminasi sebab sifatnya yang lebih tertutup dan masyarakat menganggap yang sifat ekstrovert lebih menarik dan menonjol.
Kekurangan penghargaan terhadap golongan introvert inilah menjadi asbab kepada Heyne memperjuangkan Hari Introvert Sedunia untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap golongan ini.
Kemudian, Heyne mencadangkan 2 Januari sebagai Hari Introvert Sedunia kerana ia adalah hari di mana introvert boleh nikmati ketenangan selepas sibuk menyambut tahun baharu pada setiap 1 Januari.
Maksud sifat introvert

Istilah sifat introvert ini mula diperkenalkan oleh seorang pakar psikiatri dari Switzerland iaitu Carl Jung pada tahun 1910. Jung menjelaskan yang personaliti introvert lebih menumpukan perhatian kepada emosi berbanding peristiwa luaran.
Introvert juga biasanya ‘recharge’ diri mereka dengan menyendiri iaitu sangat berbeza dengan sifat ekstrovert yang biasanya lebih gemar melakukan interaksi sosial.
Individu yang introvert dikatakan lebih selesa bersendirian dengan diri sendiri dan sifat ini sering dianggap salah faham sebagai seorang yang pemalu atau ‘anti-social’, padahal mereka hanya lebih menyukai persekitaran yang tenang terutamanya selepas menjalani aktiviti yang meletihkan.
Menariknya, sifat introvert ini juga terbahagi kepada 4 jenis sifat yang berbeza. Antaranya adalah anxious introvert, social introvert, thinking introvert dan restrained introvert. Jom kita kenali satu per satu.
1. Anxious introvert

Anxious introvert atau introvert yang cemas adalah jenis introvert yang sentiasa berasa gelisah atau kurang yakin sebelum dan semasa berada dalam situasi sosial, terutamanya dengan orang yang mereka kurang kenal.
Mereka cenderung untuk elak atau takut dalam mengikuti acara sosial kerana risau dengan penilaian atau pemikiran orang sekeliling disamping dengan perasaan malu juga. Sekiranya berinteraksi dengan orang, mereka juga sering menganalisis setiap percakapan yang telah berlaku yang akhirnya membuatkan mereka mudah berasa penat secara emosi.
Tanda-tanda introvert cemas adalah mereka lebih selesa berada dalam persekitaran yang mereka kenal, mereka juga ragu-ragu untuk mendekati orang baru serta tidak selesa untuk membuat interaksi sosial dalam persekitaran yang mereka kurang kenal.
Walaupun menghadapi kebimbangan ini, mereka masih boleh belajar untuk nikmati peluang sosial tanpa rasa tertekan dengan strategi tertentu.
2. Social introvert

Social introvert atau introvert sosial adalah jenis introvert yang lebih selesa berada dalam kumpulan kecil atau dengan orang yang dia kenal.
Mereka tak semestinya pemalu, tapi lebih berhati-hati dalam situasi sosial yang melibatkan ramai orang atau orang yang dia kurang kenal. Dalam situasi begini, selalunya mereka kurang rasa yakin dengan apa yang perlu dilakukan walaupun sebenarnya dia boleh je sesuaikan diri dengan syarat ada kawan rapat bersama atau tugasan tertentu untuk dibuat.
Tanda-tanda seseorang itu adalah introvert sosial biasanya termasuklah dengan lebih suka perjumpaan atau perbualan yang tidak melibatkan ramai orang, menikmati aktiviti bersendirian tanpa rasa kesepian, cepat rasa letih selepas interaksi sosial yang panjang dan memerlukan masa untuk ‘recharge’ diri mereka semula serta cenderung untuk memilih komunikasi melalui dalam talian berbanding bersemuka.
Walaupun mereka cenderung untuk kurang minat ikuti acara besar, namun mengikut pengalaman berinteraksi dengan orang terdahulu telah membuatkan mereka yakin untuk berada dalam sesebuah situasi sosial. Cumanya mereka akan perlukan masa untuk isi semula tenaga mereka selepas itu.
3. Thinking introvert

Thinking introvert atau introvert pemikir pula adalah jenis introvert yang lebih selesa dengan berfikir berbanding bercakap dengan orang ramai.
Golongan ini biasanya cenderung mengisi masa dengan berangan, berfikir secara mendalam dan melakukan aktiviti bersendirian yang boleh meransang minda seperti menulis, melukis, membaca dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini boleh bantu mereka kekal tenang, kreatif dan cegah rasa terbeban atau tekanan emosi.
Tanda-tanda introvert pemikir ialah kebolehan mereka berfikir dengan lebih mendalam, bahkan boleh memahami perkara yang mungkin terlepas pandang oleh lain. Mereka juga mudah untuk berasa tertekan dalam perbincangan yang pantas, oleh itu mereka lebih selesa dengan berseorangan untuk berfikir secara kritis.
4. Restrained introvert

Restrained introvert atau introvert terkawal adalah jenis introvert yang cenderung menjaga pertuturan serta tingkahlaku dan boleh bersosial dalam tahap yang minimum saja.
Mereka ini kebiasaannya akan menganalisis persekitarannya dahulu dan hanya akan berkongsi pendapat sekiranya diminta. Perubahan mendadak dalam rancangan sosial atau suasana baru boleh membuat mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri secara mental.
Tanda-tanda introvert terkawal termasuklah dengan bersikap lebih berhati-hati dalam bertindak dan memberi respons, mengambil masa dalam membuat keputusan serta lebih tenang selepas berinteraksi sosial.
Mereka juga lebih gemar ikuti acara yang sudah dirancang berbanding jemputan yang secara tiba-tiba serta memerlukan tempoh masa untuk betul-betul selesa dalam persekitaran baru.
Jadi, setiap individu yang introvert ada cara mereka tersendiri untuk jalani kehidupan masing-masing, sama ada melalui kesunyian, cara berinteraksi atau sekadar nikmati ketenangan yang mereka cipta.
Dengan sambutan Hari Introvert Sedunia ini, keunikan personaliti ini akan terus dihargai di samping menunjukkan sifat introvert juga bukanlah satu kelemahan yang wajar dipandang rendah.

5 days ago
19






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















