Dalam detik penuh cemas ketika gempa bumi kuat melanda Myanmar dan Thailand, seorang lelaki Malaysia yang menetap di Bangkok bertukar menjadi hero apabila bertindak menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap di dalam bangunan tinggi.
Memetik laporan Buletin TV3, Khen Han Ming tinggal di sebuah menara kediaman di wilayah Nonthaburi. Lelaki berumur 41 tahun itu tidak menyangka kejadian itu akan menjadi satu pengalaman yang mengubah hidupnya.
Saat bangunan setinggi 40 tingkat itu mula bergoyang seperti kapal di tengah ribut, beliau tahu beliau perlu bertindak pantas. Tanpa membuang masa, beliau menuju ke tangga kecemasan untuk menyelamatkan diri.
Namun, langkahnya terhenti apabila beliau melihat seorang wanita warga emas dalam keadaan cemas, tidak berdaya untuk turun sendiri. Dalam keadaan panik, Han Ming terpaska membuat keputusan drastik, antara nyawanya atau meninggalkan wanita warga emas itu. Dengan penuh keberanian, beliau memikul wanita tersebut menuruni setiap anak tangga, satu per satu, meskipun bangunan terus bergegar di sekeliling mereka.
Setibanya di bawah, beliau bergegas mencari kerusi roda dan menolak wanita itu ke kawasan lebih selamat, sebuah medan selera yang jauh daripada bangunan tinggi. Bagi Han Ming, jika itu merupakan detik terakhir dalam hidupnya, beliau mahu dikenang sebagai seseorang yang melakukan sesuatu yang bermakna.
Lebih menyentuh hati, Han Ming baru sahaja kehilangan pekerjaannya sebulan lalu, namun pengalaman ini membuatnya sedar bahawa dalam hidup, bukan harta yang menentukan nilai seseorang, tetapi keberanian dan keikhlasan dalam membantu orang lain.
Baca: Gempa Bumi Myanmar: Malaysia Akan Hantar Pasukan Untuk Misi Bantuan Kemanusiaan