dr zaliha jakel

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel menyatakan pihaknya tidak meneruskan sebarang tindakan perundangan terhadap pihak pengurusan kuil di Jalan Majid India adalah keputusan syarikatnya sendiri.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah membuat rundingan bersama penasihat undang-undang syarikat berkenaan dan mengambil kira pendekatan damai yang terbaik untuk semua pihak. Kenyataan ini bagi menjelaskan ucapan awal ketika majlis pecah tanah semalam.

Beliau berkata, penggunaan perkataan ‘menghalang’ dalam ucapannya telah menimbulkan kekeliruan sehingga mengundang reaksi kurang senang warganet meskipun ia bersifat spontan dan tanpa niat untuk memburukkan mana-mana pihak.

Artikel berkaitan: Masjid MADANI Di Jalan Munshi Abdullah Bakal Siap Dalam Masa 2 Tahun

Mohamed Faroz menegaskan bahawa tanpa bantuan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa, rancangan pembinaan Masjid Madani tidak akan menjadi kenyataan.

“Sebelas tahun kami tunggu. Kalau bukan sebab pertolongan Dr Zaliha, majlis pecah tanah pun belum tentu boleh diadakan hari ini. Masjid itu pun belum tentu siap dalam masa dua tahun,” katanya.

@jakeltextile

KENYATAAN RASMI JAKEL BERHUBUNG UCAPAN DATUK SERI MOHAMED FAROZ MOHAMED JAKEL* Alhamdulillah, kami sekeluarga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan MADANI yang telah banyak mempermudah urusan kami dalam melaksanakan amanah arwah ayahanda tercinta — untuk membina sebuah masjid yang bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi juga simbol penyatuan masyarakat setempat. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga kami tujukan kepada YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), atas segala bantuan, sokongan dan nasihat beliau sepanjang tempoh setahun yang lalu. *Kami ingin memperjelaskan bahawa kenyataan yang disampaikan secara spontan oleh Datuk Seri Mohamed Faroz semasa Majlis Pecah Tanah Masjid Madani baru-baru ini telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak. Beliau tidak pernah berniat untuk meletakkan sebarang kesalahan ke atas YB Datuk Seri Dr. Zaliha.* *Kami juga sedar bahawa penggunaan perkataan “menghalang” dalam ucapan beliau telah menimbulkan kekeliruan. Ucapan tersebut disampaikan secara spontan dan tanpa niat untuk memburukkan mana-mana pihak.* Malangnya, satu petikan audio daripada keseluruhan ucapan telah diambil dan disiarkan secara terpisah oleh sesetengah media, sehingga menimbulkan tafsiran yang tidak tepat serta reaksi yang kurang menyenangkan dalam kalangan masyarakat. Keputusan untuk tidak meneruskan sebarang tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak adalah keputusan kami sendiri, hasil rundingan bersama penasihat undang-undang kami dan setelah mengambil kira pendekatan damai yang terbaik untuk semua. YB Datuk Seri Dr. Zaliha hanya menyampaikan pandangan beliau berkenaan kemungkinan implikasi undang-undang dan sosial sekiranya isu ini berpanjangan, berdasarkan nasihat pelbagai pihak berwajib. Adalah tidak adil untuk menuding jari kepada beliau, sedangkan beliau telah memainkan peranan penting dalam mempermudah dan merealisasikan pembinaan Masjid Madani — sebuah projek yang sangat bermakna buat kami sekeluarga dan seluruh masyarakat. Tanpa penglibatan beliau, usaha ini tidak akan dapat dicapai seperti yang berlaku hari ini. Kami berharap agar semua pihak tidak lagi memperbesarkan isu ini. Marilah kita bersama-sama memelihara keharmonian, saling menghormati dan mengutamakan perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. Sekian. Terima kasih. #masjidmadanijakel #jakelbarulahraya2025 #ingatrayaingatjakel

♬ original sound – JAKELTEXTILE – JAKELTEXTILE

Tambahnya lagi, jika syarikatnya memilih untuk membawa kes ke mahkamah, proses undang-undang mungkin mengambil masa 10 tahun lagi dan hasilnya belum tentu memihak kepada mereka.

Sehubungan itu, Mohamed Faroz berharap agar semua pihak tidak lagi memperbesarkan isu tersebut dan bersama memelihara perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sumber: TikTok

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.