Keberanian lima warga Pakistan yang meredah sungai dalam membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini telah menerima pujian ramai.
Bagi menghargai jasa mereka, pihak Kedutaan Pakistan di Malaysia telah memanggil kelima-lima mereka iaitu Khaista Nawab, 50, Bakht Munir, 37, Amir Nawab, 47, Rafiq Ullah, 25 dan Jaafar Ali, 40, bagi menerima sijil penghargaan yang disampaikan wakil Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia di kedutaan negara itu, pada Rabu.
Menurut Khaista, dia dan rakan-rakan tidak menyangka bantuan spontan yang diberikan mereka itu akan menerima pujian dan diberi pengiktirafan kerana mereka melakukannya dengan ikhlas untuk bantu mangsa yang dalam kesusahan.
Kami bantu kerana itu yang patut dilakukan sebagai manusia, bukan untuk habuan. Bila lihat penduduk di seberang sungai panik, kami tahu kami perlu lakukan sesuatu,” katanya.
Artikel berkaitan: Bantuan RM10,000 Kepada Mangsa Rumah Yang Musnah Teruk Akibat Letupan Paip Gas – MB Selangor
Artikel berkaitan: Letupan Paip Gas Putra Heights: Polis Sahkan Tiada Kesan Gangguan Fizikal Pada Paip
Terjun dari tebing sungai Klang untuk bantu 30 mangsa
Menceritakan apa yang berlaku, mereka yang masing-masing berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan telah bertindak terjun dari tebing Sungai Klang di Kampung Sri Aman, Puchong untuk membantu kira-kira 30 penduduk yang berada di tebing sungai di Kampung Tengah untuk menyelamatkan diri daripada haba panas akibat kebakaran tersebut.
Mereka kemudian membawa penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas menyeberangi sungai selebar lebih 40 meter dan dalam lebih 1.8 meter itu kembali ke tebing di Kampung Sri Aman.
Ia dilakukan dengan cara memikul mangsa di bahu pada bahagian sungai yang sedikit cetek dan menolak mereka sambil berenang di bahagian yang dalam.
Kata Khaista lagi, ketika kejadian berlaku, mereka berlima sedang berada di rumah masing-masing yang berdekatan sungai kerana bercuti bersempena Aidilfitri.
Perkara pertama yang terlintas di fikiran mereka ketika melihat melihat api yang marak dalam jarak kira-kira satu kilometer dari rumahnya ialah mengambil pasport dan melarikan diri.
Tapi kemudian saya fikir, tidak boleh lari kerana nanti pada hari kiamat akan ditanya juga. Harus bantu orang walau nyawa sendiri dalam bahaya.
“Jadi, kami berenang ke seberang dan kembali ke tebing di Kampung Sri Aman lebih lima kali bagi menyelamatkan semua penduduk,” katanya.
Terima kasih orang baik. Jasamu dihargai.
Sumber: Harian Metro