Seorang pemilik muzium seni dikenakan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen dan permit khas tahun lalu.
Tertuduh, Yiu Shoou Rang, 66, didapati menyimpan secara haram beberapa spesimen termasuk tengkorak orang utan, dua tengkorak buaya tembaga dan tujuh gading gajah, yang merupakan haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Pasar Seni pada 8 Januari lalu.
Memetik laporan Astro Awani, tertuduh turut menghadapi empat pertuduhan tambahan atas penyimpanan 150 bahagian babi hutan, 10 duri landak dan enam tanduk rusa sambar tanpa lesen di lokasi dan masa sama.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda, namun Yiu telah melunaskan jumlah tersebut. Lima lagi pertuduhan turut diambil kira oleh mahkamah untuk tujuan penghakiman.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam yang memohon hukuman ringan atas alasan barangan tersebut kononnya koleksi Orang Asli untuk tujuan muzium.
Baca: “Nak tunjuk King” – Ramai Berang Pemandu MyVi Cuba Pecut Depan Gajah